suria

Tujuh lelaki asing larikan lima lori berisi 50 tan beras

JOHOR BAHARU: Tujuh lelaki warga asing melarikan lima lori yang dimuatkan 50 tan beras "Jati" bernilai RM200,000 selepas mengikat dua pengawal keselamatan di kilang beras berkenaan di kawasan perindustrian Senai, Seelong, di sini, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, kumpulan penjenayah yang bersejatakan parang dan kayu terbabit memanjat pagar kilang berkenaan sebelum mengikat keduadua pengawal yang tidak memiliki senjata.

"Hasil maklumat awam, pasukan khas yang terdiri daripada pegawai kanan dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, bagaimanapun, berjaya menemui salah satu lori yang berisi 10 tan beras itu di persimpangan Jalan SeelongKempas, kira-kira 20 minit selepas kejadian," katanya kepada pemberita di Balai Polis Kempas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian menemui empat buah lagi lori beras berkenaan tetapi didapati tidak lagi mengandungi muatan beras itu, yang ditinggalkan di tepi jalan Lebuh Raya Pasir Gudang, kira-kira tiga jam kemudian.

Amer berkata, susulan dari itu, berdasarkan maklumat orang awam, polis menyerbu sebuah gudang tinggal di Batu 8, Jalan Skudai, Off Jalan Kempas Lama, pada 12.10 malam tadi dan menemui semula sebahagian beras yang disamun, yang dianggarkan bernilai RM150,000.

Katanya, tiada penghuni di gudang tersebut ketika serbuan dibuat dan pemeriksaan mendapati kesemua beras berkenaan cuba dibungkus semula ke dalam bungkusan lain bagi mengelirukan semua pihak.

Amer berkata polis sedang mengesan ketujuh-tujuh lelaki warga asing yang dianggar berumur 20 hingga 35 tahun itu yang berkemungkinan merupakan saki-baki anggota kumpulan yang pernah menyamun beras di stor penyimpanan beras Padiberas Nasional Bhd (Bernas) di Taman Kota Puteri, Masai, Feb lepas.

"Dipercayai ada sebahagian baki beras belum ditemui polis dan kita menasihatkan orang ramai ataupun kedai runcit yang didatangi individu yang menawarkan penjualan beras supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain