suria

Wanita Filipina ditahan bawa kokain 1.8 kg

KUALA LUMPUR: Rangkaian sindiket dadah antarabangsa kini dilihat semakin terdesak dengan mempelbagaikan kaedah menyeludup dadah dengan harapan kegiatan mereka tidak dihidu pihak berkuasa.

Jika sebelum ini polis berjaya mengesan mereka menggunakan baju yang direndam dengan dadah yang kemudian dikeringkan, terbaru mereka dikesan menggunakan kapas pula.

Semuanya terbongkar apabila polis Bukit Aman menahan seorang wanita warganegara Filipina apabila beliau keluar dari Lapangan Terbang Antabangsa KL (KLIA) pagi tadi.

Sumber polis berkata wanita berusia 30an yang juga mengandung tujuh bulan itu ditahan pukul 9 pagi apabila beliau yang menaiki penerbangan dari Peru, mendarat di KLIA untuk transit sebelum berlepas ke destinasi terakhir ke Vietnam.

Menurut sumber itu, polis membuat pemeriksaan pada wanita itu dan menemui sesuatu yang mencurigakan pada jaket baju sejuk yang dipakainya.

Katanya, polis kemudiannya membuka jahitan pada gelembunggelembung jaket baju sejuk itu dan menemui kapas di dalamnya.

Setelah kapas itu dibasahkan dengan air dan apabila diperah, didapati cairan itu adalah dadah dipercayai jenis kokain, jelasnya.

Menurut sumber itu, berat dadah tersebut adalah kira-kira 1,800gram.

Sumber itu berkata modus operandi tersebut adalah yang terbaru digunakan oleh rangkaian sindiket dadah antarabangsa selepas menggunakan pelbagai taktik lain sebelum ini.

Kapas tersebut menurutnya yang direndam dengan dadah akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan di dalam jaket baju sejuk yang dijahit khas bagi tujuan tersebut.

Sumber itu berkata apabila sampai ke destinasi yang dituju, kapas itu akan dibasahkan di dalam air dan kemudiannya diperah sebelum dikeringkan semula untuk mendapatkan semula dadah tersebut.

Wanita itu kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, menurutnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain