suria

TUAH...

DALAM kisah Nujum Pak Belalang, salah satu teka teki yang perlu dijawab oleh P.Ramlee demi untuk menyelamatkan negaranya daripada jatuh ke tangan Pemerintah Masai dalam pertandingan “Gadai Negara” ialah di manakah terletaknya kekuatan Laksamana Hang Tuah. Pada tangannya kah? Atau Kerisnya kah?

P.Ramlee sebagai Ahli Nujum Negara menjawab, kekuatan Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf ‘Ta’. Dengan huruf ‘Ta’ lah maka namanya “Tuah”. Bijak sungguh P. Ramlee. Dia melihat apa yang orang lain tidak nampak.

Tuah adalah lagenda Melayu. Kata-katanya yang paling keramat dan sehingga kini terus digunakan ialah “Takan Melayu Hilang di Dunia”.

Betapa bertuahnya Hang Tuah ialah apabila dosanya (kerana dituduh bermukah dengan dayang Raja) diampunkan oleh Sultan Melaka sebaik sahaja Melaka diancam bencana dek kerana amokan rakan sepermainannya dan juga rakan karibnya Si Jebat.

Jebat mengamok kerana menuntut bela di atas kematian Tuah yang disangka telah pun dihukum bunuh atas perintah Sultan sedangkan si Tuah disembunyikan oleh Datuk Bendahara di Hulu Melaka.

Sayugia diingatkan amokan Jebat adalah amokan terhebat dalam sejarah Melayu atau mungkin juga dalam sejarah dunia.

Ia menjadi begitu dahsyat dan popular hinggakan 500 tahun kemudian, istilah ini dimasukkan dalam entri kamus Oxford sebagai satu istilah untuk mengambarkan suasana yang tidak terkawal dan menghasilkan kerosakan yang besar kepada masyarakat.

Kerana Tuah lah akhirnya Jebat mengamok dan hasil amokan Jebat itu menjadi satu lagenda yang kemudiannya menghasilkan entri dalam kamus Oxford.

Jika benar-benar ditenung, maka benarlah kata P.Ramlee bahawa kekuatan Tuah terletak pada namanya yang bertuah itu.

Taming Sari jatuh ke tangan Si Tuah juga kerana nasibnya yang bertuah. Dalam pertandingan menunjuk kekuatan, Tuah yang mengikuti rombongan Kesultanan Melaka ke Majapahit telah dicabar untuk berentap dengan pahlawan Jawa yang terbilang bernama Taming Sari.

Tidak seperti Tuah, kekuatan Pahlawan Jawa itu terletak di kerisnya. Selagi keris Taming Sari ditangan pemiliknya, orang itu kebal dari sebarang tikaman.

Bagaimanapun, ketika berentap, nasib Tuah menyebelahi dia. Tikaman Pahlawan Majapahit itu telah berjaya ditepis oleh Tuah sehingga keris sakti itu terpelanting dan tercacak pada dinding pentas balai rong.

Tuah segera merampas Taming Sari dan dalam babak kedua pertempuran itu, Tuah berjaya memburaikan perut lawannya.

Lantas selepas mempersembahkan kembali Taming Sari kepada Raja Majapahit, baginda Sultan segera menghadiahkan keris bertuah tersebut kepada Si Tuah. Maka jadilah Si Tuah sebagai pahlawan Melayu Melaka yang paling terbilang yang pernah dilahirkan di rantau ini.

Waima di tanah Jawa sekalipun, masyarakat Jawa masih memandang tinggi kehandalannya kerana berjaya menewaskan Taming Sari. Hari ini, di Jakarta, terdapat sebatang jalan di tengah-tengah kota raya metropolitan ini dinamakan sempena nama Tuah iaitu Jalan Hang Tuah.

Ketika Tuah diperintahkan oleh baginda Sultan supaya segera menghapuskan Si Jebat kerana telah menconteng arang di muka baginda, nasib Tuah sekali lagi menyebelahinya. Taming Sari kini milik Jebat atas kurniaan Sultan selepas Tuah dilucutkan jawatan Laksamana Melaka.

Dengan keris itulah, Si Jebat mengamok dan membunuh. Ketika kedua-dua pahlawan ini berentap di atas Istana Melaka di mana Jebat merampas kuasa, Tuah gagal menundukkan Jebat kerana Taming Sari di tangan Jebat walaupun Tuah dibekalkan dengan Keris Panjang turun temurun pusaka Kesultanan Melaka dari Bukit Siguntang.

Tetapi sebagaimana yang ditakdirkan, Si Jebat tidak sanggup menghapuskan Si Tuah. Mana mungkin dia memburaikan perut Si Tuah dengan Taming Sari sedangkan dengan kekuatan keris itulah dia mengamok menuntut bela di atas nasib Tuah.

Akhirnya selepas dua kali beristirehat, Si Jebat menghulurkan Taming Sari kepada Si Tuah agar Tuah menyudahkan misi beratnya itu. Menurut adat istiadat pahlawan Melayu, Jebat tidak boleh menyerah diri agar ditikam begitu sahaja oleh Tuah. Mereka perlu bertarung di dalam gelanggang. Maka itulah, walaupun Taming Sari telah berada dalam genggaman Tuah, dia dan Jebat masih bertarung dan bertikam keris waima Jebat menyedari maut kini telah menghampirinya.

Saya tidak pasti apakah Hikayah Hang Tuah masih lagi menjadi sebahagian daripada teks sastera Tingkatan 6 di sekolah-sekolah tetapi kita harus berasa bertuah kerana keramat nama tuah itu benar-benar memberi tuah kepada kita semua sebagai satu negara dan satu bangsa.

Cuba bayangkan ini cukup. Dari Vietnam di Utara turun ke Padang di Barat Sumatera, kemudian turun lagi ke Selatan ke Bengkulu kemudian ke Selatan lagi iaitu Jawa, selepas itu jumpa Irian Jaya. Ke atas sikit ada Filipina dan ke depan lagi ada Samoa - kesemua wilayah tersebut telah dilanda musibah sama ada oleh gempa bumi, tsunami atau ribut taufan.

Bertuah sungguh nasib kita. Kita ni berada di tengah-tengah. Taufan tidak ada (ribut petir tu adalah sekali sekala), tsunami pun baru kena sekali pada tahun 2004 apatah lagi gempa bumi. Belum pernah dalam sejarah kita, bangunan ranap kerana gempa bumi.Setakat kena tempias gegaran tu adalah terasa sikit. Itu pun kita dah cukup panik bertempiaran lari turun flat dan keluar rumah.

Usahkan itu, malah gunung berapi pun tidak ada di negara kita sedangkan di seberang Selat Melaka, hanya beberapa ratus kilometer sahaja, gunung berapi bercambah-cambah. Tasik Toba yang popular itu pun terhasil daripada letusan gunung berapi terbesar yang pernah disaksikan oleh dunia. Debunya melayang sehingga ke Siberia di tengah Rusia.

Sesuatu yang menarik tentang fenomena yang sedang berlaku sejak beberapa hari lalu cuba diterangkan oleh rakan sepejabat saya T.Selva yang mengendalikan ruangan ilmu falak India Vasthu Sastra dalam akhbar the Star. Katanya, di Indonesia sahaja terdapat 151 gunung berapi dan sesetengahnya adalah antara yang paling aktif di dunia.

Kata Selva, menurut kiraan ahli falak dan astrologi India, dari pertengahan Januari hingga ke pertengahan Julai, kedudukan bumi condong ke arah Selatan dan ini tidak membawa tuah atau memihak kepada mereka yang mendiami Hemisfera Selatan atau yang menghampiri khatulistiwa dan kedudukan Bumi pada waktu ini cenderung membawa ketidakstabilan kepada Hemisfera Selatan.

Tulis Selva, kecondongan dan suasana ini akan menjadi bertambah teruk pada waktu bulan mengambang atau hari-hari menjelang malam bulan mengambang.

Ketika tsunami melanda Samoa pada 30 September yang lalu, ia berlaku hanya beberapa hari sebelum malam bulan mengambang. Malah dalam kes tsunami yang melanda pada tahun 2004, kejadian tersebut berlaku pada malam bulan mengambang penuh, kata Selva.

Selva juga berhujah, secara astrologikal, apabila dua buah planet terbesar dalam sistem suria kita iaitu Jupiter dan Saturn berada dalam kedudukan yang paling hampir antara satu sama lain sebagaimana yang sedang berlaku sekarang, ia meninggalkan kesan yang sangat besar kepada planet-planet lain dalam sistem kita dalam tempoh 30 bulan akan datang.

Dan nampaknya, bumi juga tidak terkecuali daripada menerima kesan sampingan ini khususnya di kawasan yang tidak stabil dan tidak membawa tuah pada kiraan falak.

Dan berasaskan kiraan zodiak Selva dan mahagurunya, mereka yang dilahirkan di bawah zodiak Gemini, Leo, Virgo, Libra dan Aquarius harus berwaspada dengan kesihatan mereka kerana di sepanjang tempoh 30 bulan ini mereka akan mudah jatuh sakit atau kurang bernasib baik akibat daripada kesan sampingan yang terhasil oleh kedudukan hampir dua buah planet gergasi ini.

Sama ada kesan sampingan ini berkaitan dengan daya tarikan graviti sistem solar kita atau sebaliknya tidak lah pula dapat diperjelaskan di sini tetapi fakta saintifik membuktikan kesan bulan penuh dan kedudukan planet kepada air pasang surut di muka bumi.

Barang diingat juga, sebahagian besar badan kita terdiri daripada cecair dan air. Maka tidak hairanlah jika mitos atau lagenda sesuatu bangsa seperti Serigala Jadian atau orang naik gila, mengamok, kurang siuman, naik syeikh - semuanya berlaku tatkala bulan mengambang.

Malah putik bunga cinta juga turut dikaitkan dengan bulan mengambang iaitu orang asyik dilamun cinta tatkala bulan penuh mengambang. Ini semua ada kaitan dengan daya tarikan graviti bulan penuh ke atas air dan cecair yang berada di muka bumi termasuklah cecair yang berada dalam tubuh manusia dan juga haiwan. Haiwan? Ya, haiwan.Jika tidak, tak ada lah istilah "Pungguk Rindukan Bulan".

Walau apa pun, kita sangat-sangat bertuah kerana negara kita terlindung daripada segala macam wabak dan malapetaka tak kiralah pada waktu bulan mengambang mahupun pada ketika bumi condong ke Selatan dan kita patut bersyukur kepada tuhan kerana itu.

Itu pun masih ada negara yang rakyatnya tidak bersyukur. Tatkala mereka ditimpa musibah dan negara kita menjadi yang pertama yang menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan tapi nun di sana di antara mereka, ada yang sedang mengasah parang untuk menganyang Malaysia.

Syukurlah! Kita tidak seperti itu kerana kita adalah rakyat bertuah dari bumi bertuah. Kerana itulah mungkin, tuhan sentiasa memberkati kita.

ROZAID A. RAHMAN adalah Pengarang Bersekutu akhbar The Star

Artikel Lain