suria

Sujatha bunuh diri, kata koroner

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner di sini pada Selasa menolak sebarang unsur jenayah dalam kematian pelakon K.Sujatha sebaliknya mendapati dia mati kerana membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

Aktres berusia 28 tahun itu merupakan bekas setiausaha peribadi S.Vell Paari, Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Bhd dan anak lelaki Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Sebaik keputusan itu diumumkan, peguam Vell Paari, Datuk K.Kumaraendran memberitahu pemberita beliau berharap dengan keputusan itu, persepsi masyarakat terhadap kes itu akan turut terkubur di mana sebelum ini kes itu telah diputar-belitkan oleh beberapa pemimpin politik yang mempunyai agenda masing-masing.

Tidak ada seorangpun ahli keluarga Sujatha atau rakannya hadir di mahkamah pada Selasa.

Koroner Mohd Faizi Che Abu berkata walaupun bedah siasat tidak dijalankan dan ujian air kencing Sujatha hilang, beliau mendapati berdasarkan keterangan mengikut keadaan dan testimoni menunjukkan kematian wanita itu disebabkan meminum racun rumpai.

Walaupun berdasarkan keterangan ahli keluarga dan doktor menyatakan aktres itu mengaku tidak sedar telah terminum racun rumpai, Mohd Faizi berkata racun rumpai itu berada dalam botol yang bertutup rapat dan mempunyai bau tajam.

Juga tidak terdapat sebarang kesan kecederaan pada badan wanita itu dan berdasarkan keterangan pakar, racun itu diminum ketika Sujatha sedang berdiri, katanya.

Koroner juga berkata doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang mengesahkan aktres itu mati pada 10.25 pagi 25 Jun 2007, lima hari selepas dimasukkan ke hospital.

Berhubung soalan mengapa Sujatha, yang tinggal di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh di sini, dibawa ke Hospital Klang dan bukan dirawat di Hospital Kuala Lumpur, koroner bersetuju dengan keterangan Dr S.P. Saktiveloo dari HTAR, yang merupakan sepupu Vell Paari, iaitu beliau dapat memberi rawatan segera kepada Sujatha dan mengawasi keadaannya.

Ia turut disokong keterangan seorang pakar Prof Madya Sharum Abdul Wahid.

"Saya tidak boleh menyalahkan doktor (Dr Saktiveloo) kerana beliau dalam keadaan tertentu terpaksa menimbangkan segala kemungkinan dan membuat keputusan demi kepentingan pesakit," kata koroner.

Mohd Faizi berkata walaupun doktor HTAR mengaku ia kejadian biasa, beliau bagaimanapun kecewa ujian air kencing Sujatha hilang kerana itu menghalang beliau untuk mendapat bukti sah bahawa Sujatha meminum racun rumpai.

"Saya terpaksa bergantung kepada keterangan mengikut keadaan dan keterangan saksi," katanya.

Merujuk kepada isu tiada bedah siasat dijalankan, koroner berkata ia adalah kehendak keluarga Sujatha walaupun menjadi satu perkara mandatori sekiranya polis membuat permohonan.

"Bagaimanapun ia memberikan satu kelegaan kerana selepas insiden ini, HTAR telah memperjelaskan sebarang salah faham berhubung kes-kes yang membabitkan jenayah, di mana bedah siasat adalah mandatori," kata Mohd Faizi.

Beliau juga menolak kemungkinan wujud unsur jenayah, walaupun tanpa bukti yang cukup untuk menyokong keterangan saksi, Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam bahawa beliau menerima surat terbang dan panggilan telefon mendakwa terdapat perbuatan jenayah dalam kematian itu.

Mengenai gambar Vell Paari yang ditemui di sebelah katil Sujatha, Mohd Faizi berkata ia membuktikan mereka mempunyai hubungan intim.

"Mungkin dia merupakan kekasih mangsa bagaimanapun saya enggan mengulas isu ini kerana ia tidak mempunyai kaitan dalam inkues ini," katanya.

Vell Paari dalam satu kenyataan berkata keputusan koroner itu membuktikan beliau tidak bersalah tetapi beliau melahirkan perasaan sedih terhadap Sujatha dan keluarganya.

"Nama dan reputasi wanita yang tidak berdosa ini telah diheret dalam permainan politik oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan mereka kerana mangsa tidak dapat untuk mempertahankan dirinya," kata Vell Paari. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain