suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Keputusan permohonan dapatkan semula seluar, tali pinggang 28 Okt

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menetapkan 28 Oktober ini untuk keputusan permohonan Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan bagi mendapatkan semula seluar dan tali pinggang yang dipakainya pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, 17 Ogos lalu.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh itu bagi membolehkannya mengkaji permohonan peguam Gobalakrishnan, JM Martin untuk mendapatkan kembali pakaian milik anak guamnya itu yang dibuat mengikut Seksyen 20 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pada prosiding hari ini, Martin memohon supaya mahkamah memerintahkan polis memulangkan pakaian anak guamnya itu yang dipakainya pada hari dia dikatakan menghalang tugas penjawat awam di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, 17 Ogos lalu.

Beliau berhujah mengikut Seksyen 20 KAJ, polis boleh memeriksa dan mengambil segala barang yang ada pada badan tertuduh selain daripada pakaian yang menutup badannya dan menyimpannya di tempat yang selamat.

Katanya seluar yang koyak dan tali pinggang itu merupakan bukti penting bagi kes itu dan juga satu saman sivil yang dikemukakan anak guamnya terhadap polis berhubung kejadian itu.

Pada 18 Ogos lalu, Gobalakrishnan dihadapkan ke Mahkamah Majistret itu kerana menghalang seorang pegawai polis menjalankan tugas.

Dia didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang M. Karunamuthi daripada menjalankan tanggungjawabnya di hadapan IKBN, di sini pukul 11 pagi, 17 Ogos 2009.

Dia dituduh menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hasnurliza Mohd Radzi.

Sementara itu, sebaik hendak meninggalkan bangunan mahkamah, Gobalakrishnan ditahan polis dan dibawa ke Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, di sini.

Menurut Martin, beliau difahamkan anak guamnya itu ditahan berikutan satu waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya berkaitan kes mahkamah di Perak pada 2004. BERNAMA

Artikel Lain