suria

Hubungan Malaysia-Indonesia dinamik - Duta Indonesia

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Indonesia dan Malaysia yang sering "turun dan naik" menggambarkan hubungan yang dinamik antara kedua-dua negara, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Tan Sri Da'i Bachtiar.

"Dalam kehidupan pun dinamik. Begitu juga dalam rumahtangga, ada juga tercetus pergaduhan," katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia di sini hari ini ketika menghadiri majlis penajaan buku "Setengah Abad Hubungan Malaysia dan Indonesia" oleh Maybank.

Katanya apabila sesuatu konflik tercetus, pemimpin kedua-dua negara perlu mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Yang penting ialah bagaimana kedua-dua pihak ini akan meningkatkan hubungan antara rakyat dan hubungan persahabatan ini akan dibangunkan dengan lebih rapat lagi," katanya.

Naib Canselor UM Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata jalinan hubungan antara Malaysia dan Indonesia boleh diwujudkan melalui bidang akademik, antaranya melalui penerbitan buku "Setengah Abad Hubungan Malaysia dan Indonesia". Buku itu adalah koleksi sebahagian besar kertas kerja yang ditulis oleh pakarpakar akademik kedua-dua negara semasa persidangan 50 tahun hubungan Malaysia dan Indonesia pada tahun 2007.

Untuk permulaan, sebanyak 3,000 naskhah akan dicetak dan diagihkan di sekolah-sekolah dan perpustakaan utama di seluruh negara sebelum diagihkan ke Indonesia.

Ghauth juga berkata UM akan membuka pejabat cawangannya di Jakarta selepas Hari Raya untuk menarik minat lebih ramai pelajar Indonesia untuk melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Katanya ketika ini UM mempunyai 700 pelajar dan 15 pensyarah yang berasal dari Indonesia dan mereka juga memainkan peranan penting kepada universiti itu terutamanya dalam bidang penyelidikan.

Pejabat serupa akan juga dibuka di Dubai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain