suria

Mahkamah batal saman Sivakumar terhadap Speaker DUN Perak

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh semalam membatalkan dengan kos permohonan saman bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar terhadap Speaker Datuk R.Ganesan untuk menuntut ganti rugi serangan dan serang sentuh, ganti rugi salah penahanan dan ganti rugi teruk.

Hakim Datuk Azahar Moahamed (ulang: Moahamed) berkata mahkamah tidak boleh mencampuri apa yang telah diputuskan oleh anggota DUN Perak di persidangan DUN pada 7 Mei lepas sejajar dengan Artikel 72 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan 'Kesahan apaapa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah'.

Beliau berkata sebarang perkara berbangkit berhubung pelucutan dan pelantikan Speaker pada persidangan berkenaan sepatutnya dikaji, dibincang dan diselesaikan di dalam DUN dan bukan di mahkamah.

"Dewan Undangan Negeri Perak mempunyai bidang kuasa eksklusif atas perkara itu. Bagi saya, setakat yang melibatkan mahkamah ini, keputusan dewan undangan pada 7 Mei 2009 untuk memecat plaintiff sebagai speaker dan melantik defendan adalah konklusif dan telah diputuskan dengan adil oleh dewan negeri.

"Mempersoal kesahan pemecatan dan pelantikan adalah mempersoal kesahihan Perlembagaan. Ini tidak boleh kerana wujudnya Artikel 72," katanya ketika membacakan penghakiman. Oleh itu katanya beliau tidak mempunyai pilihan selain untuk menolak permohonan plaintif dengan kos.

Sivakumar dalam writ samannya yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 15 Mei lepas juga memohon injunksi bagi menghalang defendan atau pekerja atau ejen Ganesan daripada menafikannya daripada memasuki persidangan DUN atau melarang atau menyekatnya dalam apa jua cara daripada memegang jawatan atau menjalankan tugas beliau sebagai Speaker DUN yang sah.

Beliau juga memohon satu lagi injunksi bagi menghalang sebarang penderitaan, serangan atau pemukulan yang seterusnya oleh Ganesan atau pekerja atau ejen defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Sivakumar mendakwa beliau masih merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dan Speaker DUN. Beliau juga mendakwa defendan bukan seorang anggota yang diundi sebagai Adun maka kehadiran defendan di sebarang persidangan DUN merupakan satu penghinaan DUN.

Sivakumar turut mendakwa pada 7 Mei lepas, kira-kira 2 petang ketika beliau sedang mempengerusikan suatu mesyuarat DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan sahnya menduduki kerusi beliau di persidangan itu, pekerja atau ejen defendan telah menyerangnya dengan menangkap beliau dengan ganas, mengheret dan secara keras mengusirnya dari dewan itu atas arahan defendan.

Beliau mendakwa semasa ketidakhadirannya secara paksaan, defendan telah secara salah menjawat dirinya sebagai Speaker yang menduduki kerusi Speaker dan memakai pakaian rasmi Speaker.

Sivakumar diwakili oleh peguam Chan Kok Keong dan Leong Cheok Keng manakala Ganesan diwakili Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang dibantu oleh Datuk Hafarizam Harun, Abu Bakar As Sidek, Cheng Mai, Badrulhishah Abdul Wahab, Faizul Hilmy Ahmad Zamri dan Syed Faisal Syed Abdullah.

Sementara itu Firoz Hussein yang ditemui pemberita berkata keputusan mahkamah semalam merupakan satu petunjuk jelas bahawa segala tuntutan yang dikemukakan Sivakumar itu hanya semberono dan salahguna proses mahkamah.

Beliau berkata kes ini meletakkan prinsip paling penting bahawa mahkamah tidak akan mencampuri tugasan dan penguasaan sebenar prosiding dewan undangan negeri.

Leong pula berkata akan mengadakan perbincangan dengan anak guamnya sebelum mengambil langkah seterusnya termasuk kemungkinan merayu keputusan mahkamah semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain