suria

Tiada kematian akibat H1N1 4 hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan hari keempat berturut-turut tanpa kematian baru akibat jangkitan Influenza A(H1N1) namun orang ramai disaran terus mengamalkan langkah pencegahan dan mengelakkan kawasan-kawasan sesak.

"Orang ramai yang sihat juga disarankan agar dapat mengurangkan aktiviti mengunjungi tempat-tempat tersebut terutama sekali membeli-belah bagi persiapan sambutan Hari Raya," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Sekiranya terpaksa, mereka dinasihati mengurangkan tempoh berada di tempat-tempat berkenaan, katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Beliau mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam mengurangkan jangkitan H1N1 terutamanya bagi yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI) supaya berehat di rumah serta memakai penutup mulut dan hidung jika terpaksa mengunjungi tempat awam.

"Saya menegaskan bahawa orang ramai boleh mengelak daripada dijangkiti dengan cara menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala ILI dan sentiasa berada sekurang-kurangnya satu meter daripada individu tersebut," katanya.

Ismail berkata merokok merupakan faktor risiko bagi jangkitan influenza terutama di kalangan orang muda kerana asap rokok merosakkan saluran pernafasan dan memburukkan keadaan pesakit.

"Malah, pendedahan kepada asap rokok secara pasif juga perlu dielakkan," katanya. Pesakit respiratori antara kumpulan risiko mendapat jangkitan H1N1.

Setelah tiada laporan kematian sejak Khamis lepas, angka kematian akibat H1N1 kekal pada 73.

Ismail berkata sejumlah 228 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital hari ini untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 248 kes dibenarkan keluar.

Antara 48 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk tujuh kes baru, 11 kes berisiko penyakit kronik, tujuh kes kanak-kanak di bawah lima tahun, sembilan kes morbid obesiti, satu kes kehamilan dan satu kes berpenyakit respiratori.

Daripada 1,283 pesakit dengan gejala ILI, hanya 16.7 peratus disahkan positif H1N1 termasuk 48 yang dirawat di ICU. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain