suria

A (H1N1): 1,303 sedang dirawat hidapi gejala ILI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,303 pesakit sedang dirawat di hospital di seluruh negara kerana mempunyai gejala penyakit serupa influenza (ILI).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata daripada jumlah itu hanya 332 pesakit atau 25.5 peratus disahkan positif influenza A(H1N1) termasuk 52 kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada 52 kes yang dirawat di ICU, 16 kes berisiko penyakit kronik, sembilan kes merupakan kanakkanak di bawah lima tahun, obesiti (9), kes hamil (1), warga emas (1) dan berpenyakit respitori (1)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiada kematian baru akibat jangkitan H1N1 direkodkan menjadikan jumlah kematian kekal 73 kes, katanya.

Dr Mohd Ismail berkata pada hari ini kementerian hanya menerima sepuluh panggilan telefon melalui hotline dan tujuh emel yang bertanyakan tentang penyakit tersebut.

"Walaupun jumlah pertanyaan berkurangan, namun orang ramai masih bertanyakan tentang langkahlangkah pencegahan dan simptom Influenza A (H1N1).

"Saya menegaskan bahawa orang ramai boleh mengelak daripada dijangkiti dengan cara menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza dan sentiasa berada sekurang-kurannya satu meter dari individu tersebut," katanya.

Beliau berkata individu yang berasa tidak sihat dan mengalami gejala selesema mestilah menunjukkan rasa tanggungjawab dengan pergi mendapatkan rawatan awal dan nasihat kesihatan.

"Mereka diminta untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah, rumah ibadat atau manamana tempat awam.

"Sekiranya tidak dapat dielakkan keluar, mereka mesti sentiasa memakai penutup mulut kerana virus H1N1 merebak melalui titisan cecair dari batuk dan selesema," katanya. Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini berkenaan H1N1 menerusi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang atau lawati laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain