suria

“Diperintah keluar...” Ketua Hakim Negara set standard yang tinggi kepada para hakim.

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengesahkan dua hakim mahkamah tinggi telah diarahkan supaya melepaskan jawatan mereka secara sukarela kerana tidak mencapai tahap kecekapan yang dikehendaki.

Selain dua orang hakim mahkamah tinggi tersebut, dalam usaha yang dilihat untuk meningkatkan kecekapan dalam sistem mahkamah Malaysia, dua orang kakitangan mahkamah telah turut dipecat dan ada yang diturunkan pangkat.

Perkembangan terbaru ini memperlihatkan Zaki sedang menghantar mesej yang jelas kepada para hakim dan pegawai mahkamah - tingkatkan keupayaan kerja atau ditunjuk jalan keluar.

Zaki telah mula memantau prestasi para hakim di bawah seliaannya sejak beliau dilantik ke jawatan tertinggi kehakiman negara Oktober tahun lalu. Menjelang bulan depan, genaplah setahun beliau menjadi ketua hakim negara.

Bercakap dalam satu temuramah eksklusif dengan The Star, Zaki mengesahkan yang dua orang hakim mahkamah tinggi telah diminta meninggalkan kedudukan mereka secara sukarela tetapi enggan mengesahkan siapakah hakim-hakim tersebut.

“Mereka akan melepaskan jawatan mereka dalam tempoh enam hingga sembilan bulan lagi kerana tidak mencapai tahap kecekapan yang telah kita tetapkan dan mereka telahpun memaklumkan kepada saya yang mereka akan melepaskan jawatan mereka,” kata Zaki menjawab pertanyaan mengapakan mereka diminta melepaskan jawatan.

Di bawah Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan mereka dengan menulis kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak boleh dilucutkan dari kedudukannya melainkan menurut atau bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan di bawah Artikel tersebut.

Zaki juga menegaskan, tindakan meminta para hakim yang tidak efisien melepaskan jawatan mereka dengan cara ini adalah yang paling wajar dan sesuai di samping menjimatkan masa dan kos.

Dalam pada itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Hasnah Mohd Hashim mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan surat tunjuk sebab pada awal tahun ini kepada kakitangan mahkamah yang bermasalah supaya meningkatkan kecekapan atau berhadapan dengan tindakan disiplin.

“Sejak surat tunjuk sebab ini dikeluarkan 5 Januari lalu, dua orang kakitangan mahkamah telah berhadapan dengan tindakan dipecat, juga dikenakan potongan gaji dan diturunkan pangkat yang melibatkan sekurang-kurangnya lima orang kakitangan mahkamah,” katanya.

Sementara itu Zaki ketika ditanya bagaimanakah para hakim memperlihatkan reaksi mereka sejak soal meningkatkan kecekapan ini diketengahkan, beliau berkata, mereka menerimanya secara positif dan sejak itu menunjukkan perkembangan yang baik.

“Bila kita mengadakan persidangan para hakim di Langkawi awal tahun ini, kita telah bersetuju untuk meletakkan KPI misalnya dalam sebulan berapa banyakkah kes yang patut diselesaikan oleh para hakim,” katanya.

Dan kepada mereka yang perlahan dalam menunjukkan pembaikkan, Zaki berkata mereka perlu diberikan masa.

“Yang perlahan perlu diberikan bimbingan dan yang cekap meletakkan standard kepada yang lain untuk diikuti,” kata Zaki.

Dengan menyebut Formula 1 sebagai contoh, Zaki menambah; “jika seseorang itu tidak bagus, dia akan tertinggal di belakang. Michael Schumacher tidak akan memperlahankan keretanya kerana hendak memberi peluang kepada yang lain untuk mengejarnya.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain