suria

Pemilik cap jari gagal dikesan - Saksi

SHAH ALAM: Walaupun terdapat banyak kesan cap jari pada tingkap di tempat yang dipercayai Teoh Beng Hock terjatuh, namun tiada satupun yang boleh disahkan pemiliknya, prosiding inkues diberitahu hari ini.

Saksi forensik polis C/Insp Mazli Jusoh, 31, memberitahu prosiding inkues kematian setiausaha politik exco Selangor itu di Mahkamah Koroner di sini bahawa kesemua cap jari yang kelihatan tidak mempunyai kesan yang lengkap dan tidak cukup sifat.

Mazli berkata beliau tidak melakukan sebarang dokumentasi iaitu tidak mencatat dan merakam sebarang gambar memandangkan tiada satupun yang memenuhi kriteria.

"Dalam kes ini memang ada kesan cap jari tetapi tidak cukup sifat dan ia menunjukkan pengesahan negatif kerana sifat. Ia memerlukan sekurangkurangnya lapan sifat (untuk pengesahan)," katanya yang dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Katanya dalam kes ini terdapat lebih kurang lapan garisan yang boleh dilihat pada tingkap tersebut tetapi ia tidak cukup sifat sepertimana yang ditetapkan dalam prosedur.

Mazli sebelum itu menerangkan kepada mahkamah bagaimana prosedur yang diguna pakai untuk pengecaman cap jari, dan katanya ciriciri garisan pada jari adalah sama dengan tapak tangan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh di bahagian manakah beliau melakukan pemeriksaan, Mazli berkata: "Saya siasat pada bahagian cermin, bingkai cermin serta bahagian bawahnya.

"Dalam kes ini tidak diambil kesan cap jari yang tidak lengkap itu kerana kawasan tersebut berdebu dan berhabuk, sebab apabila diambil, kadangkadang sifatnya hanya 50-50. Di tempat berhabuk, jalur (garisan pada jari) tidak begitu timbul," katanya.

Beliau berkata sepanjang siasatan beliau tidak pernah berbincang dengan Pakar perunding kanan perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang Dr Khairul Azman Ibrahim mengenai bagaimana Teoh terjatuh.

Bagaimanapun beliau mengakui tahu bahawa kawasan tingkap itu (tempat Teoh terjatuh) digunakan oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merokok.

Sementara itu ketika soal balas, Mazli kelihatan berang dengan beberapa pertanyaan Gobind terutama mengenai ketiadaan laporan pengesahan cap jari.

Mazli sebelum itu menerangkan kepada mahkamah bahawa apabila tiada sebarang cap jari yang lengkap ditemui, beliau tidak akan melakukan dokumentasi dan tiada sebarang laporan akan dicatitkan.

Jawapan beliau itu ditempelak oleh Gobind dengan menyatakan "Jika begitu kamu boleh datang ke mahkamah dan cakap apa saja, yang kamu tidak boleh sahkan langsung cap jari".

Mazli menjawab "Jika tiada (cap jari), tiadalah."

Mengenai kesan air peluh yang tidak diambil dari tingkap itu, Mazli berkata jika spesimen peluh diambil dengan cara calitan ia akan merosakkan kesan jari. BERNAMA

Artikel Lain