suria

Bayaran royalti minyak RM1 billion kepada Kelantan masih dalam kajian

KOTA BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan yang membuat tuntutan RM1 bilion, masih di peringkat kajian.

Beliau berkata kajian itu masih dijalankan oleh kerajaan pusat kerana berlaku pertindihan kawasan di daerah operasi pelantar minyak itu.

"Royalti minyak masih dalam kajian kerajaan pusat. Bila hasil kajian selesai saya akan menghantar wakil untuk menyampaikan (hasil kajian) kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kota Baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perbincangan antara beliau dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berlangsung selama 20 minit apabila beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.

Selain Nik Aziz, Najib dalam rangka lawatan kerjanya sehari ke Kelantan hari ini turut disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.

Nik Abdul Aziz sebelum ini telah menghantarkan surat kepada Perdana Menteri mengenai tuntutan bayaran royalti sebanyak 5 peratus daripada hasil petroleum dan gas cecair yang dijalankan di perairan Kelantan yang berjumlah RM1 bilion.

Kerajaan negeri membuat tuntutan itu pada tahun ini setelah mengetahui melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula daripada 2004 sehingga kini.

Najib berkata pada perjumpaan singkat dengan Nik Abdul Aziz itu, antara perkara lain yang dibangkitkan adalah cadangan membina pelabuhan di Tumpat, pembinaan flyover dan sektor pelancongan.

Beliau berkata untuk pembinaan pelabuhan itu, adalah elok perkara itu dikaji di dalam projekprojek pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), manakala projek pembinaan flyover telahpun diluluskan cuma ada beberapa masalah perlu diselesaikan termasuk isu pembekalan bahan pembinaan. Beliau juga berkata tiada sebarang dokumen rasmi daripada kerajaan negeri diserahkan kepadanya pada pertemuan hari ini dan beliau menyambut baik perbincangan yang tidak dirancang itu dengan Nik Abdul Aziz kerana ia merupakan titik permulaan kerjasama yang baik.

"Saya sempat memberitahu Nik Abdul Aziz supaya elok kita mengelak daripada menyinggung perasaan mana-mana pihak," katanya.

Pada sidang media itu juga, Najib mengingatkan sekali lagi kepada semua pemimpin dan ahli Umno supaya mengambil tindakan cepat dalam pemulihan Umno secara dalaman dan menumpukan untuk mendapat keyakinan rakyat.

Beliau mahukan semua pihak memberi komitmen yang tinggi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau mahukan tindakan Umno kini supaya mencerminkan hasrat parti untuk meraih keyakinan rakyat sekaligus memperolehi kedudukan yang lebih baik pada pilihan raya umum nanti.

Najib kemudian menghadiri majlis Jamuan Rakyat pada waktu tengah hari bersama 5,000 anggota masyarakat setempat sebelum bertolak ke Kuantan, Pahang pada sebelah petang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain