suria

Ahmad akur arahan JKR tutup stadium untuk siasatan

HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akur dengan tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menutup Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak untuk disiasat kerana didapati ada kerosakan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, beliau tidak mahu membuat ulasan lanjut kerana penyiasatan itu akan dibuat oleh JKR pusat dan terpulang kepada mereka untuk melakukannya.

"Kerajaan negeri juga mempunyai pasukan yang akan dilantik untuk membuat kajian secara terperinci melalui badan bebas. Kita juga perlu memberitahu yang kita juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa penyiasat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Pulau Petang, Tasik Kenyir di sini Rabu.

Ahmad diminta mengulas tindakan JKR pusat minggu lalu yang mengarahkan penutupan stadium itu.

Stadium tertutup itu adalah antara dua stadium yang siap dibina setahun lalu di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke 13 tahun lepas.

Stadium utama iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjadi gelanggang utama Sukma runtuh pada 2 Jun lalu melibatkan bahagian bumbung utama.

Ahmad berkata, tindakan JKR itu merupakan tindakan awal sebelum berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Kita akan terima apa yang dibuat oleh JKR itu. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Yang penting keselamatan rakyat terjamin dan duit yang kita belanjakan memberi nilai yang sepatutnya.

"Kita tidak mahu apa-apa yang tak baik berlaku. Jika perkara yang tidak diingini berlaku, bukan sahaja kewangan kita rugi, malah imej kita juga rosak dan program yang hendak dianjur terpaksa dibatalkan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain