suria

Warga emas dan remaja ditahan di premis judi haram

KLANG: Polis menahan sepuluh lelaki termasuk seorang warga emas berusia 60an dan remaja 17 tahun dalam serbuan ke atas sebuah premis judi haram di Taman Intan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata, warga emas dan remaja itu dipercayai penjaga premis judi yang pernah diserbu beberapa kali sebelum ini tetapi masih berdegil dan meneruskan operasinya.

Beliau berkata polis turut menahan lapan lelaki berusia sekitar 20an yang sedang leka bermain judi di premis berkenaan yang dipercayai memulakan operasi harian sekitar pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam dan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

"Dalam serbuan yang dilakukan kita turut merampas 18 komputer yang telah diubahsuai menjadi mesin permainan judi di premis berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohamad berkata permintaan daripada pelanggan tetap di premis judi itu menyebabkan mereka berani beroperasi walaupun pernah diserbu beberapa kali sebelum ini. Beliau berkata serbuan itu dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan oleh anggotanya termasuk melakukan penyamaran sebagai pelanggan di premis judi berkenaan.

"Kita turut menyita komputer lain yang ada di premis terbabit bagi tujuan siasatan dan selepas ini usaha pemotongan bekalan elektrik akan dilakukan bagi mengelakkan premis terbabit beroperasi semula," katanya.

Mohamad berkata kesemua yang ditahan akan direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 (B) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. BERNAMA

Artikel Lain