suria

Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan bebas empat warden penjara

PUTRAJAYA: Empat warden penjara hari ini menarik nafas lega selepas Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan pembebasan mereka daripada tuduhan membunuh seorang banduan lima tahun lepas.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Wan Adnan Muhamad dan Datuk Hishamuddin Mohd Yunus mengetepikan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan warder penjara itu oleh Mahkamah Tinggi.

Teyun Thian Eim, 40, Suhaimi Nordin, 33, Mohamad Hamdan Mohd Yaakob, 31, dan Ahmad Rizal Abdul Halim, 31, dilihat memeluk anggota keluarga mereka selepas keputusan dibuat.

Pada 14 Oktober 2005, Mahkamah Tinggi Kuantan melepaskan dan membebaskan mereka serta Ismail @ Mat Daud Deris, 59, pegawai penjara yang bertugas di Penjara Penor di Kuantan, yang dituduh secara bersama membunuh Mohd Shukri Mohd Yusof, 19, di penjara itu antara 4 petang dan 7 malam 1 Mac 2004, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali, bagaimanapun, mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap seorang lagi tertuduh, Azhar Che Wil, di akhir kes pembelaan.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Azhar terhadap sabitan kes dan hukuman mati.

Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Ismail.

Teyun diwakili oleh peguam Datuk Bastion Pius Vendargon, Suhaimi oleh Datuk Shukri Mohamed, Mohamad Hamdan oleh Bob Arumugam dan Ahmad Rizal oleh Richard Bong manakala Azhar diwakili oleh Karpal Singh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah bahawa jenis kecederaan yang dialami oleh Mohd Shukri dan kecederaan yang mengakibatkan kematiannya mungkin membawa kepada kesimpulan pembunuhan.

Mahkamah menyampaikan keputusan tanpa mendengar penghujahan daripada peguam.

Karpal Singh berkata hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana tidak meminda pertuduhan secara bersama terhadap Azhar selepas lima lagi tertuduh dibebaskan di akhir kes pendakwaan tetapi Timbalan

Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berkata mahkamah perlu mengambil kira merit kes dan bukannya kesilapan teknikal. BERNAMA

Artikel Lain