suria

4 warga asing ditahan, dadah bernilai RM278,000 dirampas

KUALA LUMPUR: Empat lelaki warga asing dipercayai dalang sindiket pengedaraan dadah jenis syabu, ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Ahad lepas di mana polis turut merampas 775 gram dadah bernilai kira-kira RM278,000.

Pada 24 April lepas, polis menahan dua lelaki warga Iran serta merampas satu bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 595 gram ketika melakukan serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang kira-kira 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang berkata keduadua suspek berusia 24 dan 25 tahun itu dipercayai memasuki negara ini melalui Bangkok, Thailand pada 31 Mac lepas sebagai pelancong.

"Dadahdadah ini di bawa masuk untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang dan mereka dipercayai telah enam kali keluar masuk negara ini.

"Mereka ini dipercayai telah bergiat aktif sejak tiga ke empat bulan lepas dan bersekongkol dengan rakyat tempatan. Kita sedang menyiasat sumber bekalan dadah ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kang berkata dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM214,000, manakala kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 April lepas dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi kedua pada 26 April lalu, polis berjaya menahan dua lelaki warga Aceh di sekitar KLCC dan merampas lima peket plastik lutsinar dipercayai berisi dadah jenis Syabu seberat 180 gram daripada kedua-dua suspek.

Kedua-dua suspek berusia 31 dan 39 tahun itu telah memasuki negara ini sejak sebulan lepas dan hasil pemeriksaan mendapati passport salah seorang suspek telah tamat tempoh.

Beliau berkata dadah yang dirampas dianggar bernilai RM64,000, manakala kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu bermula 27 April lepas untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akata Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain