suria

Cegah selesema babi: Setiap pintu masuk dipasang alat termografik

LANGKAH CEGAH... Kelihatan seorang jururawat sedang memeriksa suhu badan seorang penumpang yang tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 95 dari Los Angelas-Taipei-Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah pencegahan di kesemua pintu masuk ke negara untuk mencegah wabak selsema babi daripada menular ke negara ini. --fotoBERNAMA
LANGKAH CEGAH... Kelihatan seorang jururawat sedang memeriksa suhu badan seorang penumpang yang tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 95 dari Los Angelas-Taipei-Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah pencegahan di kesemua pintu masuk ke negara untuk mencegah wabak selsema babi daripada menular ke negara ini. --fotoBERNAMA
LANGKAH CEGAH... Kelihatan seorang jururawat sedang memeriksa suhu badan seorang penumpang yang tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 95 dari Los Angelas-Taipei-Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah pencegahan di kesemua pintu masuk ke negara untuk mencegah wabak selsema babi daripada menular ke negara ini. --fotoBERNAMA

SEPANG: Sejenis alat pengimbas suhu, termografik untuk mengesan tahap kesihatan pelawat yang datang ke negara ini akan dipasang di pintu masuk utama termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) selewatnya minggu ini bagi mencegah wabak selesema babi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemasangan alat itu akan memudahkan lagi proses pemeriksaan kesihatan dijalankan tanpa perlu menjalani pemeriksaan secara manual.

"Kementerian sedang dalam proses untuk membeli alat itu... sebelum ini kita hanya pinjam atau sewa ketika wabak selesema burung beberapa tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas melawat kaunter pemeriksaan kesihatan di pintu masuk KLIA di sini semalam.

Sehubungan itu juga setiap penumpang yang tiba terutama dari Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico perlu mengisi borang terlebih dahulu jika mereka mempunyai tanda-tanda seperti demam, batuk dan sukar bernafas.

"Jika mereka mempunyai tanda-tanda seperti itu mereka akan diberi rawatan lanjut bagi mengesahkan tahap kesihatan mereka sebagai kebenaran memasuki negara ini.

"Kita akan pastikan proses pemeriksaan berjalan secara licin kerana tidak mahu memberi kesusahan kepada pelawat serta untuk meyakinkan mereka bahawa Malaysia selamat untuk dilawati," katanya.

Liow berkata, proses itu bukan bertujuan untuk menyusahkan pelawat dan berharap mereka memahaminya kerana pada masa sama negara juga perlu dilindungi agar bebas daripada wabak itu.

Ekoran itu juga katanya, dua buah hospital dijadikan pusat kuarantin sementara iaitu Hospital Serdang dekat sini dan Putrajaya bagi menempatkan mereka yang disyaki menghadapi wabak berkenaan.

Semalam dua penerbangan dari New York dan Los Angelas tiba di KLIA masing-masing pada pukul 6.45 pagi dan 12.15 tengah hari, membabitkan seramai 203 penumpang.

Mengulas mengenai dua doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang 'ditangkap' Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan yang didapati membaca akhbar semasa bekerja, Liow berkata, beliau masih menunggu laporan daripada pengarah hospital berkenaan berhubung perkara itu.

"Jika didapati bersalah doktor terbabit akan dikenakan tindakan disiplin tetapi perkara ini masih disiasat kerana kita tidak mahu dengar cakap orang saja," katanya.

VAKSIN

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mempunyai vaksin H1N1 untuk disuntik kepada ternakan babi bagi mencegah penularan wabak selesema babi di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata, jabatan hanya menunggu arahan dari Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan proses vaksinisasi terhadap ternakan babi.

"Buat masa ini belum ada arahan untuk menyuntik vaksin H1N1 kepada ternakan babi di seluruh negara tetapi jika diarah dan keadaan memerlukan, sudah ada vaksin yang sedang dikaji bagi tujuan itu," katanya kepada Bernama.

Dr. Abd Aziz berkata, vaksin itu turut digunakan di ladang ternakan babi di luar negara sebagai langkah untuk memastikan ternakan itu bebas daripada jangkitan selesema babi.

Beliau berkata, setiap pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah diarah mengawal selia ladang ternakan di negeri masing-masing dan memaklumkan kepada ibu pejabat jika terdapat tandatanda ternakan di negeri mereka terkena wabak itu.

"Tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal berbuat demikian (memantau). Pengarah juga harus memastikan semua penternak mematuhi arahan semasa bekerja di ladang ternakan babi dengan mewajibkan pekerja sentiasa memakai 'mask' (topeng mulut)," katanya.

Dr. Abd Aziz berkata, persatuan penternak negeri dikehendaki bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk melaporkan sebarang simptom berkaitan selesema babi.

"Jika ada tanda-tanda yang sama seperti virus influenza, demam yang tinggi, sakit tekak dan sakit badan, pekerja ladang perlu diberi cuti dan menjalani pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, jabatan belum menerima sebarang laporan berhubung wujudnya simptom selesema babi di negara ini, sambil memberitahu bahawa selesema babi berpotensi untuk menjangkiti burung tetapi kadar kemungkinannya adalah rendah.

Jika selesema burung boleh berjangkit melalui pemakanan, sebagai contoh memakan ayam, selesema babi pula tidak boleh dijangkiti dengan memakan babi tetapi ia boleh dijangkiti melalui pembawaan manusia, katanya.

Maklumat lanjut mengenai wabak selesema babi boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 atau layari laman web www.moh.gov.my. BERNAMA

Artikel Lain