suria

Zambry: DUN Perak perlu bersidang walaupun semakan kehakiman belum diputus

IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu bersidang pada 7 Mei ini walaupun kes semakan kehakiman mengenai siapa Menteri Besar yang sah yang difailkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih belum diputuskan mahkamah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ini kerana kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak adalah sah selagi mahkamah tidak membuat apaapa keputusan berkenaan pelantikan beliau ke jawatan itu.

"Tuan Yang Dipertua Dewan mesti mengiktiraf dan menghormati pelantikan kami sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengulas saranan Mohammad Nizar semalam agar persidangan DUN 7 Mei ini ditangguhkan sehingga pertikaian siapa Menteri Besar Perak yang sah diselesaikan di Mahkamah Tinggi, Zambry berkata kuasa untuk menentukan tarikh persidangan DUN terletak di tangan Sultan Perak.

"Sebagai Menteri Besar, kita memberi pandangan dan kuasa yang terakhir untuk menentukan bila tarikh persidangan dewan diadakan ialah Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Sultan yang menentukan tarikh itu (7 Mei)," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata beliau menerima dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam yang menolak notis usul yang difailkan beliau di bawah Fasal 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff memutuskan bahawa pertikaian antara Zambry dan Mohammad Nizar mengenai siapa Menteri Besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Zambry berkata beliau sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan mahkamah walaupun keputusan-keputusan yang dibuat tidak menyebelahinya.

Beliau berkata ini berbeza dengan pemimpin pakatan pembangkang yang hanya memuji dan menyokong keputusan mahkamah yang menyebelahi mereka tetapi menggunakan pelbagai alasan untuk menolak keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi mereka.

Zambry berkata, tindakannya memfailkan notis usul berkenaan adalah untuk mendapatkan penyelesaian muktamad bagi menentukan kesahihan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar yang telah dicabar oleh Mohammad Nizar.

"Tindakan itu adalah demi kebaikan dan kepentingan rakyat Perak seluruhnya dan bukan mencari jalan pintas seperti yang didakwa sesetengah pihak," katanya.

Zambry sebelum ini telah mengemukakan permohonan untuk merujuk tiga persoalan undang-undang berkenaan dengan interpretasi FasalFasal 16(2) dan 16(6) menurut Fasal 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Dalam notis usul itu, Zambry berkata sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan ketiga-tiga persoalan itu memihak kepadanya, maka mahkamah itu perlu mengisytiharkan bahawa pada 6 Februari 2009, beliau telah dilantik dengan sewajarnya sebagai Menteri Besar Perak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain