suria

Dua beradik cedera dibelasah 10 pekerja trak tunda

KUALA LUMPUR: Dua beradik, Neng Man Seng, 27, dan Neng Wah Seng, 29, mendakwa cedera dibelasah lebih 10 pekerja trak penunda selepas kereta yang dipandu Man Seng terbabit dalam kemalangan jalan raya di jalan Taman Tun Teja menghala ke Rawang pada 19 April lepas.

Menceritakan kejadian itu kepada pemberita di sini hari ini, Man Seng berkata kejadian berlaku pada kirakira pukul 11.30 malam ketika beliau, yang memandu sendirian, terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang melalui kawasan yang sama lalu merempuh penghadang jalan.

"Saya yang keluar dari kereta kemudian didatangi 10 lelaki yang mendakwa bekerja sebagai penunda kereta dan mahu menarik kereta saya ke bengkel berhampiran," katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di Wisma MCA di sini.

Man Seng berkata, bagaimanapun, beliau enggan menggunakan khidmat trak penunda berkenaan lalu menelefon abangnya, Wah Seng, untuk bantuan.

Sebaik Wah Seng tiba, dia juga enggan bekerjasama dengan lelaki terbabit lalu menelefon rakan lain yang mempunyai bengkel sendiri.

"Tiba-tiba salah seorang lelaki yang berbadan besar dari kumpulan itu naik berang lalu menumbuk muka Wah Seng, manakala beberapa kawannya terus menumbuk dan memukul saya sehingga hampir pengsan.

"Mereka ramai, kami tidak mampu untuk melawan malah ada salah seorang daripada mereka menggunakan parang," kata Man Seng.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan belakang badan membuat laporan polis di Balai Polis Rawang pada keesokannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes itu akan disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh kerana melibatkan ramai orang sehingga berlaku kecederaan. BERNAMA

Artikel Lain