suria

Anggota Unit Narkotik IPD Kangar dituduh rasuah

KANGAR: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal hari ini dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada seorang lelaki bagi menukar contoh air kencing positif dadah.

Shahrul Anuar Abdullah, 41, yang mengaku tidak bersalah, berkhidmat di Unit Narkotik Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kangar dituduh melakukan perbuatan itu pukul 5.43 petang di Maybank Berhad cawangan Kangar dan ditangkap pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada Mohamad Mustaqim Othman yang beralamat di Kampung Tambun Tulang sebagai dorongan bagi menukar contoh air kencing dua lelaki iaitu Mohamad Farzus Othman dan Che Asri Che Nat yang dikatakan positif dadah.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula dan memerintahkan ikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM5,000 kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius.

Tertuduh, yang tidak diwakili, bagaimanapun merayu jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan beliau mempunyai tanggungan besar. BERNAMA

Artikel Lain