suria

Anggota rombongan umrah Malaysia terbabit kemalangan

KUALA LUMPUR: Seramai 19 orang anggota rombongan umrah dari Malaysia yang menaiki bas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bir Ali, Madinah, Arab Saudi semalam.

Menurut jurucakap Wisma Putra, kejadian itu, yang turut membabitkan kematian anggota rombongan berkenaan berlaku pada kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan.

Beliau berkata maklumat mengenai bagaimana kemalangan itu berlaku belum diperoleh.

"Kita masih belum dapat memberikan maklumat terkini kejadian tersebut kerana masih menunggu laporan penuh dari Arab Saudi.

"Memang ada mangsa yang terkorban tetapi jumlah dan siapa yang terkorban belum dapat dipastikan dan kita dimaklumkan kesemua mangsa kini sedang dirawat," katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Menurutnya petugas-petugas Kementerian Luar di Arab Saudi sedang berusaha mengumpulkan maklumat dengan bekerjasama dengan pihak hospital sebelum memberi laporan penuh kepada Wisma Putra.

"Pegawai-pegawai kita sedang bertungkus lumus mendapatkan maklumat terkini kejadian dan kita juga sentiasa berhubung bagi mendapatkan semua maklumat sebelum diberitahu kepada umum," katanya. BERNAMA

Artikel Lain