suria

Bapa gagal bayar Ah Long, dua beradik dikurung

KUALA LUMPUR: Dua remaja perempuan menjadi mangsa ceti haram atau Ah Long apabila mereka dikurung dua lelaki gara-gara bapa mereka berhutang RM82,000 dengan ceti haram itu.

Keduadua Ah Long itu bertindak meletakkan gam pada mangga pintu jeriji selain menyimbah minyak diesel di hadapan pintu kediaman mereka yang terletak di tingkat sembilan di sebuah apartmen di Pandan Indah.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan bapa remaja tersebut yang berusia 47 tahun gagal menjelaskan hutang yang dipinjam daripada 28 Ah Long sejak Oktober tahun lalu.

Remaja perempuan berumur 16 tahun itu berkata dia dan adik perempuannya yang berumur 14 tahun terpaksa menangguhkan persekolahan dan tidak hadir ke sekolah atas faktor keselamatan.

Dia yang trauma dengan insiden itu berkata ketika kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, dia dan adiknya sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi bising dan melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigai berada di luar rumah.

"Saya nampak ada dua lelaki tetapi saya tidak nampak pula apa yang mereka buat namun setengah jam kemudian, saya menyedari mangga rumah dipenuhi dengan gam menyebabkan kami terkurung di dalam.

"Ketika itu, ibu bapa bersama adik lelaki berusia 11 tahun tiada di rumah. Saya terus memaklumkan kepada bapa sebelum sepasukan empat anggota polis tiba di rumah untuk membukakan pintu," katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini hari ini.

Katanya kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku malahan pada 3 Mac lalu, tiga Ah Long bertindak memecahkan pasu bunga milik mereka selain memaki hamun bapanya selepas gagal menjelaskan hutang.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata peminjam wang tidak sepatutnya menjadikan anggota keluarga sebagai mangsa sebaliknya menyelesaikan masalah tersebut dengan penghutang itu sendiri.

Beliau berkata, sepanjang tiga bulan tahun ini, sebanyak 148 aduan kes berkaitan masalah pinjaman ah long membabitkan wang berjumlah RM7.8 juta diterima oleh pihaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dua hari lepas dan katanya kes disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan Seksyen 342 kanun sama kerana mengurung secara salah. BERNAMA

Artikel Lain