suria

Adik kesal abang dibelasah sehingga koma

KUALA TERENGGANU: Adik kepada seorang lelaki yang dibelasah sehingga koma Sabtu lalu merasa teramat kesal dengan orang yang sanggup bertindak demikian terhadap abangnya.

Zaidi Husin, 23, berkata jika benar abangnya terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Al Amin, Bukit Payong Jumaat lalu seperti yang didakwa, mereka yang berkenaan seharusnya menahan abangnya dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat lebih mendalam sebelum sebarang melakukan hukuman sendiri. "Saya sungguh merasa kesal dan kecewa ke atas kecederaan abang saya yang dipukul oleh dua lelaki sehingga tidak sedarkan diri.

"Kalaupun abang saya bersalah, mengapa dia tidak ditangkap sahaja dan diserahkan kepada pihak yang berkuasa.

"Saya hairan di zaman yang serba moden sekarang, ada lagi manusia yang sanggup bertindak dan membuat undangundang sendiri sehingga abang saya masih koma sehingga hari ini," katanya kepada Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini. Zaidi, seorang buruh bergegas pulang dari Johor Baharu setelah mengetahui kejadian yang menimpa abangnya.

Beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan yang rapi berhubung perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat agar ia tidak berulang kepada orang lain.

Zaidi berkata abangnya yang cedera parah terutama di bahagian kepala masih belum sedarkan diri.

Dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu telah menyerah diri kepada polis sehari selepas kejadian dan kini ditahan reman sehingga 9 April bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan. BERNAMA

Artikel Lain