suria

Najib angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, hari ini - KSN

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri diadakan pada 10 pagi, hari ini di Istana Negara, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan.

Mengikut kenyataan Mohd Sidek yang dikeluarkan malam tadi, Tuanku Mizan berkenan supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersamasama Najib menghadap Seri Paduka pukul 10 pagi ini untuk Abdullah menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri dan memohon perkenan melantik Najib sebagai Perdana Menteri yang baru.

Mohd Sidek berkata Perdana Menteri memaklumkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bahawa Seri Paduka telah memberi perkenan itu semasa beliau menghadap Tuanku Mizan sebelum mesyuarat mingguan Kabinet.

"Yang di-Pertuan Agong juga telah memberi perkenan supaya Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri diadakan pada jam 10 pagi, Jumaat, 3 April 2009 di Istana Negara," menurut kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain