suria

Anak-anak yakin Najib mampu berkhidmat cemerlang

YAKIN...Mohd Nizar (kiri), anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bersama adiknya Puteri Norlisa memahami tanggungjawab yang terpaksa dipikul bapanya.
YAKIN...Mohd Nizar (kiri), anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bersama adiknya Puteri Norlisa memahami tanggungjawab yang terpaksa dipikul bapanya.
YAKIN...Mohd Nizar (kiri), anak sulung Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bersama adiknya Puteri Norlisa memahami tanggungjawab yang terpaksa dipikul bapanya.

KUALA LUMPUR: Bagaimanakah agaknya kehidupan yang dilalui oleh anak-anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mereka terpaksa berkongsi sebahagian besar masa bapa mereka dengan seluruh rakyat Malaysia?

Malah, sejak sebelum menjadi perdana menteri lagi, Najib sentiasa sibuk dengan pelbagai tugas bagi menyempurnakan tanggungjawab beliau sebagai pemimpin Umno, Menteri Besar dan menteri kabinet.

Baru-baru ini, Bernama berkesempatan menemubual anak lelaki sulung beliau Mohd Nizar, 31, dan anak perempuannya Puteri Norlisa, 28, untuk mendengar daripada mulut mereka sendiri pengalaman yang dilalui sebagai anak pemimpin nombor satu negara.

"Sebagai ahli politik, masa bapa untuk bersama keluarga agak terhad sekali.

"Walaupun beliau terpaksa banyak berkorban dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ahli politik, tapi ayah tetap mencari peluang untuk bersama kami dengan sedapat mungkin," kata Mohd Nizar.

Mohd Nizar berkata mereka bernasib baik kerana walaupun Najib mempunyai jadual tugas yang ketat, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa dan memastikan semua keperluan mereka dipenuhi, termasuk mendapat pendidikan terbaik.

"Kami amat bersyukur kerana daripada segi ini, kami sungguh bernasib baik," katanya. Puteri Norlisa pula memberi jawapan secara penuh berfalsafah.

"Itulah hakikat yang terpaksa diterima kerana beliau bukan bertugas dari pukul 9 pagi hingga 5 petang saja. Beliau juga kena bekerja pada Sabtu dan Ahad kerana ada rakyat yang memerlukan bimbingannya.

"Kami memahaminya, tapi beliau tetap memberi keutamaan kepada kami dengan sedapat mungkin. Kami juga perlu berkorban, tapi kami tetap berpeluang untuk bersamanya apabila beliau mempunyai masa terluang," kata Norlisa.

Bertugas sebagai perunding pengurusan, Mohd Nizar berkata bapanya sentiasa menekankan tentang pentingnya pelajaran, berusaha dengan tekun dan tidak berputus asa.

"Contohnya, semasa saya hendak mengambil peperiksaan perakaunan bertauliah yang amat susah itu, beliau menasihati saya supaya terus berusaha dan jangan sekalikali mengaku kalah. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya.

"Beliau berkata sikap seperti itu penting kerana kebanyakan manusia akan patah semangat ketika mereka sudah menghampiri puncak kejayaan," katanya.

Puteri Norlisa bersetuju dengan pendapat abangnya itu dengan berkata bapa mereka akan sentiasa menelefon, mengirim SMS atau mengunjunginya semasa beliau menuntut di England bagi memastikan beliau berada dalam keadaan baik.

Puteri Norlisa kembali ke Malaysia tiga bulan lepas setelah menetap selama 10 tahun di England untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja, termasuk sebagai peguam selama tiga tahun dengan firma guaman terkemuka, Eversheds di London.

Dua beradik ini melanjutkan pengajian di University of Nottingham, tempat Najib pernah menuntut ilmu. Seperti bapanya, Mohd Nizar mendapat didikan peringkat rendah dan menengah di St John's Institution di Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pelajaran Tingkatan Empat dan Lima di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Seperti bapanya, Mohd Nizar juga memiliki ijazah dalam jurusan ekonomi industri.

Dalam politik, beliau kini menjadi anggota Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa.

Puteri Norlisa bagaimanapun berkata beliau tidak begitu meminati politik.

Ditanya tentang perkara yang paling mereka kagumi tentang bapa mereka, Mohd Nizar berkata mereka amat menyanjung sikap Najib yang sentiasa tenang apabila berdepan dengan tekanan.

"Ayah mampu bersikap tenang dan tenteram dalam keadaan yang amat tegang. Sebagai pemimpin, beliau tidak mudah panik atau terus membuat kesimpulan apabila menghadapi keadaan penuh kontroversi.

"Beliau tidak gemar berbicara secara panjang lebar tentang perkara berkenaan. Setelah memperoleh fakta secukupnya dan mengadakan perbincangan, beliau akan segera membuat keputusan," kata Mohd Nizar.

Beliau berkata Najib juga adalah seorang pendengar yang amat sabar.

"Boleh sanggup mendengar bicara seseorang dari awal hingga akhir, tanpa mencelah dan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan," katanya.

Ditanya bagaimana mereka menghadapi tohmahan yang dilemparkan terhadap Najib sejak dua tahun lepas, Mohd Nizar berkata semua itu hanya mainan politik.

"Kami percaya kepada beliau dan yakin dengan pendiriannya, tuduhan yang dilempar terhadapnya tidak berasas dan tidak adil.

"Adalah perkara biasa bagi ahli politik melalui perkara seperti ini dan musuhnya tidak akan berhenti daripada berusaha untuk memburukkan namanya, tapi sebagai anak, saya tahu beliau seorang yang baik hati," katanya.

Ditanya tentang perasaan mereka kerana mempunyai bapa yang juga perdana menteri, keduadua beradik ini berkata mereka bersyukur dan pada waktu yang sama, sedar tentang beban serta tanggungjaswab yang perlu dipikul.

Mereka juga melahirkan keyakinan tentang kemampuan Najib untuk mengemudi negara ini dalam mengharungi krisis kewangan global.

"Saya harap, di bawah bimbingan beliau, Malaysia akan terus cemerlang di mata dunia dan warisan yang beliau tinggalkan kelak, merupakan sesuatu yang memberi kesan amat positif terhadap negara," kata Puteri Norlisa.

Mohd Nizar pula merayu kepada rakyat Malaysia supaya memberi peluang kepada bapanya untuk membuktikan kemampuan dan kepimpinan beliau.

Mengenai saatsaat yang dianggap paling bermakna semasa bersama ayah mereka, Mohd Nizar berkata saat itu ialah apabila mereka melakukan perjalanan bersama Najib tanpa kehadiran orang luar.

"Saya amat menghargai saat-saat itu kerana bukan mudah untuk mendapat masa untuk bersama-sama beliau, dan walaupun sekadar melakukan sesuatu yang biasa, seperti membeli-belah terutama di luar negara di mana tidak ada sesiapa yang mengenali beliau, kami benar-benar menikmati saat-saat indah berada di samping beliau, tanpa sebarang gangguan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain