suria

Bagi saya peluang, jangan nilai sebelum jadi PM - Najib

GANDINGAN MANTAP..Datuk Seri Abdullah Amad Badawi bersalam dengan Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
GANDINGAN MANTAP..Datuk Seri Abdullah Amad Badawi bersalam dengan Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
GANDINGAN MANTAP..Datuk Seri Abdullah Amad Badawi bersalam dengan Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal menerajui negara sebagai Perdana Menteri, dipercayai Jumaat depan, mahu beliau diberi peluang membuktikan kepimpinannya tanpa "dilemparkan prapenilaian yang tidak adil."

Malah Presiden Umno itu berharap tuduhan-tuduhan tidak berasas dilemparkan pembangkang terhadapnya tidak dijadikan kayu pengukur terhadap kepimpinannya dalam Umno dan kerajaan.

Ia merupakan reaksi pertama beliau pada sidang media rasmi diadakan, pukul 3.30 petang tadi, selepas dinobatkan sebagai Presiden Umno dan bakal menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya menilai kredibilitinya berdasarkan khabar angin dan tuduhan yang tidak berasas.

"Saya sudah beri kenyataan dan penjelasan namun mereka masih tetap lemparkan tuduhan berniat jahat dan tidak berasas, apa nak buat... mereka adalah pembangkang.

"Tapi saya tahu apa yang nak dilakukan, beri saya peluang dan nilai saya berdasarkan tindakan saya... jangan nilai saya berdasarkan khabar angin," katanya.

Sidang media itu diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-59 yang berakhir tengah hari tadi.

Pembangkang sebelum ini mendakwa Najib terlibat dengan pelbagai tuduhan termasuk terlibat dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaaribuu.

Malah dalam ucapannya penerimaan jawatan sebagai Presiden, Najib berkata, fitnah adalah racun berbisa menghancur bangsa.

Tambah beliau, akhir-akhir ini fitnah disembur dan dilempar merata-rata dengan niat penuh nista.

Katanya, "janganlah keadilan itu ada dua standard, satu untuk kerajaan satu untuk pembangkang."

"Jika mana-mana pembangkang dituduh dibawa ke mahkamah, kata pembangkang, hakim tidak adil, pendakwa menganiaya, polis pula tidak betul.

"Namun, jika mana-mana tokoh kerajaan...baru...sahaja dituduh, belum apa-apa sudah dianggap bersalah oleh mereka," katanya.

Diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri seolah-olah menggambarkan keruntuhan sistem demokrasi di Malaysia, beliau berkata, dakwaan sedemikian merupakaan satu pandangan yang tidak adil.

"Mengapa anda buat penilaian terhadap saya? Ini penilaian yang tidak adil sebelum peralihan kuasa berlaku.

"Beri saya peluang ambil alih dahulu sebelum apa-apa penilaian dibuat," katanya.

Abdullah dijangka menyerahkan jawatannya kepada Najib minggu depan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Najib bagaimanapun berkata, beliau komited untuk melakukan perubahan untuk kepentingan rakyat dan negara.

"Saya komited untuk buat perubahan... saya akan buat perubahan.

"Saya sedar mahu saya buat sesuatu (perubahan)," katanya.

Najib juga berkata, beliau yakin untuk memimpin negara berdasarkan mandat yang diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun lalu.

"Ya saya yakin dengan mandat itu, kami (BN) ada majoriti selesa.

"Pak Lah juga telah sediakan platform yang baik sembelum menyerahkan kepimpinannya kepada saya," kata beliau sambil menambah, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menyatakan sokongan dengan hadir perhimpunan hari ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain