suria

Atendan pam minyak saman Affin Bank RM1 juta

IPOH: Seorang atendan pam minyak hari ini memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta terhadap Affin Bank Berhad kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan beliau disytiharkan muflis lima tahun lepas.

Dalam saman yang difailkan oleh Mohd Azlan Hashim, 53, beliau mendakwa nama dan butiran peribadinya diperguna dan dipalsukan dalam satu perjanjian sewa beli dengan bank itu bertarikh 20 Ogos 2001.

Akibat kecuaian pihak bank tersebut, beliau mendakwa namanya disenaraihitamkan oleh semua institusi kewangan sehingga beliau gagal memperoleh sebarang bentuk pinjaman untuk membeli kenderaan atau rumah.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Al Murali & Co, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd Azlan, yang hadir bersama peguamnya C. Murali, memberitahu pemberita bahawa segala simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya juga dibekukan berikutan statusnya sebagai muflis akibat kecuaian pihak defendan. Beliau mendakwa tidak pernah menerima sebarang dokumen ataupun tuntutan bayaran daripada bank berkenaan berhubung perjanjian sewa beli tersebut.

Katanya beliau hanya mengetahui dirinya diisytiharkan muflis setelah menerima surat daripada Jabatan Insilvensi Malaysia bertarikh 9 Mac 2004.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Azlan, dari Pangsapuri Sri Kepayang, di sini, memohon ganti rugi am berjumlah RM500,000 dan ganti rugi teladan berjumlah RM500,000 kerana menjatuhkan maruah, malu dan tekanan mental yang dialaminya.

Beliau turut menuntut faedah lapan peratus ke atas jumlah tuntutan dari tarikh writ saman difailkan hingga tarikh penghakiman dan penyelesaian sepenuhnya, kos dan lain-lain relif.BERNAMA

Artikel Lain