suria

AGM Umno bincang PPSMI, MCA serah pada Kabinet

KOTA BAHARU: Perhimpunan Agung Umno ke63 hujung bulan ini dijangka membincangkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang kini menjadi isu hangat diperbincangkan dan kerajaan perlu memberikan perhatian serius.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah ke arah mempercepatkan tindakan menangani isu ini perlu dilakukan bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan dan masyarakat dapat menerima dengan baik.

"Adalah tidak tepat sekiranya penyelesaian isu bahasa dilengah-lengahkan dan menteri berkenaan perlu beri kata dua dalam menyelesaikan masalah ini.

"Apa pun keputusan akan dikaitkan dengan Umno dan ini memberi kesan negatif terhadap parti yang selama ini dianggap pembela orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas majlis Maulidul Rasul di sini hari ini.

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden Umno tidak menolak kesan isu bahasa Melayu memberi persepsi yang tidak sihat kepada parti sehingga membawa kepada keyakinan rakyat terhadap kerajan pimpinan Umno.

"Terserah kepada menteri berkenaan, bagi saya ia banyak faedah sekiranya diberikan keputusan yang cepat khususnya untuk generasi akan datang," tegas beliau.

Isu PPSMI dalam usul pendidikan adalah antara usul yang dijangka dibahaskan pada perhimpunan agung parti selama lima hari bermula 24 Mac ini, selain usul ucapan dasar presiden, ekonomi dan agama, kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Usul lain yang dijangka menjadi perbahasan hangat ialah usul terima kasih kepada Presiden, kata beliau.

Menurutnya semua wakil negeri berpeluang berucap pada perhimpunan itu yang antara lain memperincikan lagi usul ucapan dasar yang mungkin menyentuh sejarah perjuangan Umno dan selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Bagi usul ekonomi, tumpuan diberi kepada usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu yang kini dianggap masih ditahap yang lemah, tambahnya.

Dalam pada itu, MCA menyerahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan mengenai isu PPSMI, kata Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini.

Katanya, tidak wajar perkara itu terus diperdebatkan dan diperbesar-besarkan memandang dasar yang dilaksanakan pada 2003 sedang dikaji semula Kementerian Pelajaran.

"MCA telah menyatakan pendiriannya berulang kali dan kami berpegang teguh kepada pendirian itu.

"Lazimnya, Kabinet akan membuat keputusan selepas menteri berkenaan mengemukakan memorandum kepada Kabinet," katanya selepas merasmikan majlis konvokesyen Liverpool John Moores University di Kuala Lumpur hari ini.

Pendirian MCA berhubung isu PPSMI adalah kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan kemudiannya diubah menggunakan bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain