SEREMBAN: "One Night 8 Times" dan "Play Boy Cream" adalah antara 270 item ubat perangsang seks tiruan dari China bernilai RM58,000 yang dirampas di Jalan Utham Singh di sini semalam.Ubat-ubat ini dirampas dari enam penjual ubat kaki lima oleh Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, kira-kira 3.30 petang. Nama lain bagi ubat-ubatan yang dirampas itu ialah Cialis, Viagra, Power Man, American Viagra, France T253, Fly D5 Yuan Ye, Street Evil Overload, Lian Zhan Qi Tian dan Qiang Jin Wei Ge Wang, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainal Ariffin Omar."Ubat-ubatan yang dirampas ini disyaki bukan keluaran berdaftar Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan kerana tidak mempunyai nombor pendaftaran MAL dan tiada pelekat keselamatan hologram Meditag."Ia tidak terjamin dari segi mutu, keberkesanan dan keselamatannya serta berkemungkinan boleh membahayakan pengguna yang mempunyai alahan dan penyakit asma, hipertensi dan sakit jantung," katanya.Zainal Ariffin berkata peniaga yang memiliki ubat-ubatan seumpama itu boleh didakwa kerana melanggari Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (Pindaan) 2001 yang jika didapati bersalah bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.Bagi syarikat yang didapati bersalah, mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000, katanya. BERNAMA