suria

Anugerah "Tun" untuk P. Ramlee?

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyokong penuh saranan supaya seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee dianugerahkan dengan gelaran Tun selaras dengan sumbangan beliau dalam bidang seni negara.

Timbalan Menterinya, Teng Boon Soon berkata, P. Ramlee merupakan seorang tokoh yang mempunyai kepelbagaian bakat iaitu sebagai pemuzik, penyanyi, pencipta lagu, pelakon dan pelawak.

"Beliau pernah menerima tujuh anugerah dalam bidang perfileman dalam Festival Filem Asia pada tahun 50an dan 60-an iaitu sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Fotografi Terbaik dan tiga anugerah Filem Komedi Terbaik dan Most Versatile Talent," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu.

Cadangan kepada penganugerahan itu dibuat oleh Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Allahyarhanm P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang dan meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 1973 ketika berumur 44 tahun.

Beliau mulai terkenal ketika melibatkan diri dalam zaman kegemilangan filem Melayu yang berpusat di Singapura, sekitar 50-an hingga 60-an, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.

Mengenai hasil royalti lagu-lagu Allahyarham, Teng berkata, statusnya masih dalam pemerhatian kementerian.

Katanya, royalti terhadap lagu P. Ramlee diuruskan oleh Persatuan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik.

Mengenai bantuan kerajaan kepada golongan artis, beliau berkata beberapa orang artis yang meninggal dunia telah dibantu semasa masih hidup dan selepas kematian mereka seperti anak kandung P. Ramlee iaitu Allahyarham Mohd Nasir, pelawak Yusni Jaafar dan pelalon Ed Osmera melalui Skim Belaan Artis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain