suria

Perbicaraan kes nasha Aziz ditetapkan pada 7 Oktober depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 dan 10 Oktober bagi mendengar saman yang dibuat bapa kepada pelakon dan model Nasha Aziz.

Kes itu akan didengar oleh Hakim Datuk Abdul Wahab Patail.

Timbalan Pendaftar Fatimah Rubia'ah Ali menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas kes itu disebut di hadapannya.

Abdul Aziz, 61, seorang guru silat mengemukakan saman itu terhadap anak perempuannya Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung artikel yang mendakwa bahawa dia bukan bapanya yang sebenar.

Katanya beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa bahawa perkataan fitnah di dalam artikel itu, bertajuk "Jangan tanya hal peribadi", dalam keluaran akhbar bertarikh 24 November 2004 telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya.

Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Abdul Aziz dalam pernyataan tuntutannya berkata rencana dalam akhbar itu membawa maksud atau boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.

Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan "bapa" dalam temu bual dengan akhbar itu adalah merujuk kepada bapa saudara yang membesarkannya.

Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya.

Isnin lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Yusof menolak dengan kos writ saman dan kenyataan dakwaan oleh Abdul Aziz Mohamad Ali terhadap pencetak dan pemilik Utusan Melayu dan wartawan Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Utusan Melayu dan wartawannya supaya dikeluarkan sebagai defendan dalam saman yang dibawa bapa kepada pelakon dan model Nasha Aziz terhadap mereka dan anak perempuannya.

Zabariah memutuskan bahawa artikel yang diterbitkan oleh akhbar itu tidak merujuk kepada plaintif, Aziz, tetapi dirujuk kepada bapa saudara Nasha, Allahyarham Abdul Aziz Hathim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain