suria

Pempena mahu selesai kes tuntutan di luar mahkamah

KUALA LUMPUR: Pembangunan Pelancongan Nasional Sdn Bhd (Pempena), anak syarikat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Pelancongan Malaysia) sedang berusaha menyelesaikan kes antara Malaysia Travel Bureau Sdn Bhd (MTB) miliknya dengan Melia Travel Sdn Bhd di luar mahkamah.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini berikutan kes itu telah berpanjangan sejak 1997 dan membabitkan kos guaman yang tinggi.

"Buat masa ini, kes mahkamah mengenai tuntutan wang pendahuluan dan aset berjumlah RM68,929 antara MTB dan Melia Travel masih belum selesai dan akan disebut semula pada 16 Mac ini," katanya semasa menggulung perbahasan usul terima kasih titah ucapan Yang diPertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Azalina berkata, Pempena juga mempunyai beberapa kes lain yang perlu diselesaikan. Sementara itu sebanyak 68.41 juta pelancong tempatan dan berulang dicatatkan manakala 22 juta pelancong asing dicatatkan pada tahun 2008.

Katanya, kementerian juga hanya menggalakkan kebudayaan negara ini dalam program Homestay di negara ini dan sama sekali tidak menggalakkan budaya barat.

Azalina berkata sebanyak RM3 juta diperuntukkan tahun lepas bagi promosi program Homestay manakala sebanyak RM10 juta untuk promosi sama di dalam dan luar negara tahun ini.

Mengenai pelancongan kesihatan, beliau mencadangkan supaya pelancong dari Indonesia diberikan kemasukan dan cap pasport di hospital dan bukannya di imigresen.

Katanya, perkara ini dibangkitkan dalam jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan bertujuan tidak membangkitkan kemarahan pelancongpelancong terbabit semasa masuk ke negara ini. BERNAMA

Artikel Lain