suria

Zambry: Persidangan bawah pokok dirancang malukan negara

PARIT BUNTAR: Menteri Besar Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir percaya gabungan pakatan pembangkang sengaja merancang mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bawah pokok memalukan negara di mata dunia.

Katanya, persidangan tergempar yang diadakan di bawah pokok di Ipoh semalam memang sesuatu yang memalukan kerana ingin memburukkan negara.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi tetapi kita boleh lihat mereka telah bersedia dengan posterposter "The World is Watching" supaya kejadian itu dilihat oleh dunia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri faham matlamat mereka mengadakan persidangan berkenaan di luar Dewan.

"Ia seolah-olah telah disusun untuk tatapan dunia," katanya memgulas mengenai persidangan tergempar yang diadakan di bawah pokok kirakira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.

Speaker DUN V. Sivakumar mengadakan persidangan tergempar itu di kawasan berkenaan selepas cubaan beliau bersama 27 Adun DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memasuki Dewan dihalang oleh polis.

Persidangan yang berlangusng kira-kira 30 minit mulai 10 pagi itu meluluskan tiga usul meluluskan tiga usul yang dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota dewan yang hadir.

Usul-usul yang diluluskan adalah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, membubarkan Dewan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dan mengesahkan keputusan Speaker menggantung Zambry dan enam Exconya daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan di bawah pokok itu turut mendapat perhatian lebih 300 orang awam dan mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara.

Zambry berkata, tindakan mengadakan persidangan itu juga merupakan usaha pembangkang untuk terus mengganggu kerajaan negeri.

"Saya akan terus menjalankan tugas seperti biasa... kita tidak mahu diganggu oleh kejadian seperti semalam yang menjejaskan kerajaan.

"Kita akan terus seperti biasa dengan sirisiri mesyuarat, perjumpaan dan sebagainya," katanya.

Persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar itu dianggap tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

Semalam, Mahkamah Tinggi Ipoh juga telah membenarkan permohonan injuksi Zambry dan enam Exco menghalang Sivakumar daripada mengadakan sebarang persidangan DUN.

Ditanya sama ada beliau akan membuat satu lagi permohonan ekoran keputusan mahkamah semalam dibuat selepas persidangan DUN berlangsung sebelah pagi, Zambry berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada peguam.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar berkata, usaha memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat akan dipertingkatkan kerana pembangkang masih menimbulkan kekeliruan mengenai kesahihan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, isu dua Menteri Besar yang timbul ekoran peralihan kuasa kerajaan negeri bulan lepas kini berada dalam proses perundangan selepas Mohammad Nizar membawanya ke mahkamah.

"Serahlah kepada mahkamah untuk putuskan siapa Menteri Besar yang sah... kita harap mereka (pembangkang) menghormati proses undang-undang dan tak perlulah mengadakan ceramah-ceramah yang akan mengelirukan rakyat," tegasnya.

Zambry dilantik sebagai Menteri Besar yang baru selepas BN menguasai majoriti 31 berbanding 28 apabila tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN awal bulan lepas.

Kes Mohammad Nizar mencabar kesahihan Dr Zambry sebagai Menteri Besar akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat ini sama ada dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain