suria

Batang Ai: PRS mesyuarat Khamis ini

BAU: Parti Rakyat Sarawak (PRs) dijangka bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan calon untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Setiusaha Agungnya, Wilfred Nissom berkata, setakat ini PRS belum lagi membuat sebarang kata putus berhubung calonnya, namun telah mengenal pasti seorang calon yang sesuai untuk kerusi tersebut.

"Seorang anak tempatan, Presiden (Datuk Sri James Jemut Masing) akan bagi tahu, saya tidak boleh kata sekarang, tunggu 5 Mac kita mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah pelantikan anggota Majlis Daerah Bau di sini hari ini.

Beliau berkata, calon yang bakal bertanding merupakan seorang yang dikenali bukan sahaja di peringkat atasan, malah juga di peringkat akar umbi dan penduduk tempatan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sama ada calon terbabit adalah orang baru dalam parti mahupun daripada kalangan anggora PRS yang ada.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian Menteri Muda Sukan Sarawak Datuk Dublin Unting akibat serangan angin ahmar pada 24 Februari lalu.

Unting koma akibat serangan angin ahmar sejak 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, mendiang menang di kawasan yang majoritinya kaum Iban setelah menewaskan Nicholas Bawin Anggat daripada Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat di Kuching Rabu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Batang Ai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain