KUALA LUMPUR: Wisma Putra semalam menafikan dakwaan kakak mendiang Hemalatha Kassipillai, wanita yang terbunuh dalam serangan pengganas di Mumbai pada 26 November lepas, yang mengatakan Wisma Putra tidak menghubungi keluarga mendiang ketika Mumbai diserang hebat oleh pengganas.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata pada 27 November lepas, apabila dimaklumkan rakan sekerja Hemalatha di Mumbai bahawa mendiang berada dalam sebuah bilik di hotel Taj yang menjadi sasaran serangan pengganas itu, pejabat Konsul Jeneral di Mumbai ketika itu menghubungi abang wanita berkenaan, Kalai Selvan Kassipillai.
Menurutnya pihak kementerian kemudiannya memaklumkan bahawa pihak Konsul Jeneral Malaysia sudah melakukan segala yang termampu bagi mengenal pasti lokasi tepat mendiang ketika itu, dengan kerjasama pihak-pihak berkuasa tempatan.
"Semua komunikasi mengenai Hemalatha dibuat menerusi Kalai Selvan Kassipillai, malah pihak kementerian tidak menerima sebarang pertanyaan dari Ratna Raja Kassipillai (kakak mendiang)," menurut kenyataan itu.
Kenyataan Wisma Putra itu dibuat sebagai merujuk kepada sepucuk surat oleh Ratna Raja kepada editor yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times hari ini.
Wisma Putra berkata kegagalan Hemalatha mendaftar kehadirannya di Mumbai dengan pejabat Konsul Jeneral Malaysia turut menyulitkan usaha mencari beliau, memandangkan pihak kementerian tidak tahu lokasi mendiang, sehingga rakan sekerjanya memaklumkan bahawa mendiang ada menghubungi mereka dari dalam bilik di hotel berkenaan, dan ia memberikan perkembangan positif dalam usaha mengesannya.
Ratna Raja dalam suratnya itu antara lain mendakwa bahawa Wisma Putra tidak membuat sebarang usaha menghubungi manamana anggota keluarga mendiang berhubung perkembangan insiden itu, mahupun dalam membantu mereka membawa balik mayat Hemalatha.
Beliau turut mendakwa bahawa segala usaha dilakukan oleh anggota keluarga mendiang Hemalatha, termasuk meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi di pejabat Konsul Jeneral di Mumbai. BERNAMA


