suria

ADUN Batang Ai, Dublin meninggal dunia

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dublin Unting, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak kerusi Batang Ai meninggal dunia awal pagi semalam.

Beliau meninggal dunia setelah diserang angin ahmar kira-kira pukul 1.25 pagi.

Mendiang juga Timbalan Menteri Sarawak bagi Sukan dan Pertanian.

Kerusi DUN Batang Ai terletak dalam bahagian Parlimen Lubok Antu, Sarawak.

ADUN dua penggal itu mempertahankan kerusinya pada 2006 dengan menewaskan calon Parti Nasional Sarawak (Snap), Bawin Anggat.

Pada 2001 beliau menang tanpa bertanding kerusi berkenaan.

Perkembangan terbaru ini membuka laluan kepada pilihan raya kecil dalam masa 60 hari memandangkan tempoh mandat semasa kerajaan negeri Sarawak hanya akan berakhir Mei 2011.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika dihubungi mengesahkan sudah memperoleh maklumat mengenai perkembangan terbaru ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wilson Ugak berkata, mayat mendiang akan dibawa ke rumah barunya yang masih dalam pembinaan di Stutong dekat Kuching kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Mendiang meninggalkan isterinya, Datin Froline Moriah Dimies Impoi dan tiga orang anak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain