suria

Jawi, JAIS tiada laporan kes babitkan gambar Elizabeth

PETALING JAYA: Kedua-dua Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) belum menerima sebarang laporan berhubung penyebaran foto ataupun video separuh bogel Exco Kerajaan Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi lewat petang semalam memberitahu bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai isu tersebut.

Oleh itu, jelas beliau, tindakan jabatan tersebut bergantung pada laporan jika dibuat kelak.

Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, jika teman lelaki Wong mahu disabitkan atas tuduhan khalwat sekali pun mereka memerlukan bukti bukan hanya gambar semata-mata tetapi yang lebih penting adalah perlunya empat orang saksi yang beragama Islam berada di tempat kejadian.

"Sebelum didakwa di Mahkamah Syariah, kes akan disiasat secara terperinci oleh unit pendakwaan di JAIS selepas itu baru ia akan dibicarakan di mahkamah.

"Namun harus diingat kes tersebut mestilah melibatkan tuduhan khalwat bukan jenayah seperti mengancam keselamatan seseorang individu kerana itu akan jadi kes polis,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika ada laporan berkaitan isu berkenaan ia akan dirujuk kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Jelasnya, jabatan itu bersedia untuk menjalankan siasatan jika menerima laporan rasmi berhubung hal tersebut.

Tambah beliau, jika ada laporan yang diterima, teman lelaki Exco Selangor tersebut boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana terdapat peruntukan di bawah undang-undang syariah di negara ini.

Beberapa laporan media termasuk blog dan portal berita sejak beberapa hari lalu mendakwa teman lelaki Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong adalah orang Melayu beragama Islam.

Laporan-laporan itu mendakwa gambar-gambar itu dirakamkan oleh teman lelakinya yang telah putus hubungan.

Malah, Wong dalam kenyataan media tiga hari lalu juga menegaskan, beliau tidak akan mendedahkan secara terbuka orang yang merakamkan gambar didakwa separuh bogel dan berada dalam keadaan intim.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain