suria

Isu lembu: SPRM dibidas dedahkan wujud bukti "kukuh"

PULAU PINANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibidas kerana secara terbuka mendedahkan terdapat "bukti dan keterangan kukuh" terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum mendapat kebenaran Peguam Negara.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh membidas tindakan yang diambil oleh suruhanjaya tersebut.

Beliau yang juga seorang peguam kanan dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan sebagai tidak kompeten untuk menyiasat kes itu.

Katanya, beliau akan merujuk Ahmad Said kepada Seksyen 58 Akta SPRM 2009 yang menyatakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah akta itu tidak boleh dilaksanakan, kecuali melalui atau dengan kebenaran pendakwa raya.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Green Hall di sini hari ini, Karpal berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa.

Disember lepas, Abdul Khalid dituduh menyalahgunakan dana kerajaan negeri bagi penyelenggaraan kereta utiliti sukan (SUV) jenis Lexus milik peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu untuk ibadah korban bernilai RM110,400.

Semalam Ahmad Said berkata, pihaknya mendapati ada "bukti dan keterangan kukuh" menunjukkan Abdul Khalid telah menyalahgunakan kuasanya bagi penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, SPRM tiada kuasa untuk mendakwa Khalid kerana bidang kuasa pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Justeru, menurut Azmin, SPRM tidak berhak membuat kenyataan terbuka berhubung penyiasatan dalam isu yang belum dimuktamadkan oleh JPN.

"Kenyataan SPRM adalah di luar peraturan biasa dan boleh mempengaruhi budi bicara Peguam Negara yang bertanggungjawab secara bebas dan adil

"Kami juga melihat ini adalah usaha jahat yang dirancang oleh Umno dan Barisan Nasional untuk menggugat pentadbiran kerajaan Pakatan di Selangor dengan memperalatkan institusi-institusi seperti SPRM dan JPN," katanya selepas menghadiri Retreat ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Selangor, di Shah Alam hari ini.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak menegaskan, Pakatan Rakyat akan mempertahankan prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan mendokong penuh kepimpinan Khalid untuk terus memimpin Selangor.

Ditanya apakah tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mengatasi masalah tersebut, Azmin berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan bermula pada 10 Mac depan.

"Barisan peguam kami juga sedang meneliti langkah-langkah yang wajar diambil untuk berhadapan dengan tuduhan yang dikenakan ke atas Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kami yakin Tan Sri Khalid tidak bersalah dalam perkara ini. Walau bagaimanapun kami menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas secara telus dan bebas," ujarnya.

Sementara itu, Exco kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok menyifatkan SPRM telah bersekongkol dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Khir Toyo dalam isu tersebut.

"Peguam Tan Sri Khalid baru fail saman namun selepas itu SPRM dah buat tuduhan ke atasnya. Ini seolah-olah menunjukkan ia menyokong Khir Toyo untuk pertandingan pemilihan Umno.

“"ami amat kesal kerana tuduhan ke atas Tan Sri Khalid melibatkan isu remeh-temeh sedangkan ia melibatkan kepentingan orang awam bukan untuk kegunaan sendiri. Ini memberi satu gambaran SPRM merupakan alat BN untuk mendiskriminasi pemimpin-pemimpin Pakatan,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain