suria

DAP tidak setuju lompat parti, hudud

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini berkata semua ahli dalam parti itu tidak bersetuju dengan amalan lompat parti dan cadangan pelaksanaan hukum hudud.

Kenyataan Karpal itu dilihat bercanggah dengan pendirian Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang mengalu-alukan penyertaan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, Datuk Nasarudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, sebelum kembali semula menyertai Umno.

Pada 27 Januari lepas, Lim dilaporkan berkata bahawa tindakan Nasaruddin menyertai PKR akan menguatkan lagi Pakatan Rakyat di Perak.

Karpal berkata, beliau mahu Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan pendiriannya berhubung isu lompat parti, yang beliau sifatkan sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

Jika benar Guan Eng mengeluarkan kenyataan itu, ia bermakna beliau telah melakukan satu kesilapan yang besar memandangkan tindakan mempromosikan budaya lompat parti adalah salah, kata Karpal kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Karpal turut mempertahankan kenyataannya tempoh hari yang menyelar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak layak menjadi pemimpin Pakatan Rakyat kerana beliau hanya memberi masalah kepada pakatan pembangkang itu.

Dalam pada itu di PULAU PINANG Lim Guan Eng menegaskan pendirian DAP yang menentang perbuatan melompat parti oleh wakil rakyat.

Beliau berkata parti itu sentiasa memperjuangkan penggubalan undang-undang antilompat parti, termasuk ketika Anwar mencanangkan kononnya ada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti pada 16 September tahun lepas.

"Inilah dasar DAP... saya telah cuba menjadi abang yang menjaga adik-adiknya, tapi kita tak mampu mengawal mereka sepanjang masa.

"Kami tidak nafikan DAP dan PKR mungkin mempunyai pendapat berbeza, tapi kami tetap menangani perkara itu. Kami tak sembunyikan apa-apa," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah bagi pembinaan tembok dan pintu pagar Rumah Kebajikan Silver Jubilee di Sungai Nibong di sini.

Lim berkata PAS sendiri telah mengumumkan pendiriannya yang menentang perbuatan melompat parti oleh wakil rakyat.

Katanya DAP sedia menyokong BN sekiranya parti gabungan itu membentangkan undang-undang antilompat parti dan memberi jaminan kesemua 28 Anggota Parlimennya akan menyokong undang-undang itu.

Mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa MCA dan Gerakan juga menentang perbuatan melompat parti, Lim berkata jika demikian halnya, maka dua parti itu patut menyokong penggubalan undang-undang bagi mencegah perbuatan melompat parti oleh wakil rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain