suria

Nizar masih enggan letak jawatan

[DIKEMAS KINI] IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak walaupun jawatan itu kini secara rasminya telah disandang oleh Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Mohammad Nizar berkata demikian atas keyakinan yang beliau masih secara sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Kita tidak menolak titah Sultan tapi kita memohon kepada baginda untuk mengikut peruntukan di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Sultan bagi merayu baginda supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Mohammad Nizar berkata, ketika beliau menghadap sultan sebelum ini, beliau dititahkan supaya meletak jawatan dan sultan tidak berkenan untuk membubarkan DUN.

"Saya dengan rendah diri memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan yang 'Saya, sebagai Menteri Besar dan ketua Dewan, merayu supaya tidak perlu untuk meletak jawatan," katanya.

Mengaku terkejut melihat keadaan pejabat Menteri Besar yang kosong pagi tadi, Mohammad Nizar dan para Exco negeri mengadakan sidang akhabar serta merta untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

"Ini seperti menceroboh pejabat saya. Tidak ada sebarang notis untuk mengusir saya," katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau hanya menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim supaya memulangkan kunci pejabat, kenderaan rasmi dan lain-lain.

Beliau bertegas mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang sah di Perak dan berkata:" Sehingga berlaku undi tidak percaya terhadap saya, saya tidak akan meletakkan jawatan."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain