suria

4 wartawan diberi penghormatan sempena Hari Wilayah

KUALA LUMPUR: Empat orang wartawan diberi penghormatan dalam senarai penerima darjah kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Mereka terdiri daripada Penasihat Editorial Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Azman Ujang; Ketua Pengarang Star Publications (M) Bhd, Datuk Wong Chun Wai; Ketua Pengarang BERNAMA Yong Soo Heong; dan Ketua Pengarang Utusan Melayu (M) Bhd, Abdul Aziz Ishak.

Azman dan Wong adalah antara 12 individu yang dianugerahkan darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Sebelum menyandang jawatan Penasihat Editorial BERNAMA, Azman adalah bekas Pengurus Besar dan Ketua Pengarang pertubuhan tersebut.

Sementara itu, Yong dan Abdul Aziz akan menerima darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran "Datuk".

Mereka akan menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balai Rong Seri, Istana Negara di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendahului senarai 282 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Istiadat pengurniaan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu disempurnakan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Yang turut menerima anugerah darjah SUMW yang membawa gelaran Datuk Seri Utama itu ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Tahun ini merupakan kali kedua darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada individu-individu terpilih setelah diperkenalkan tahun lepas.

Yang turut menerima darjah SMW ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Tan Sri Zulkurnain Awang; Pengerusi Low Yat Group Tan Sri Low Yow Chuan; Pengerusi Bank Industri dan Teknologi (M) Bhd Tan Sri Othman Mohd Rijal; Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye; Panglima Tentera Laut, Datuk Seri Laksamana Abdul Aziz Jaafar; Pengerusi Bank Simpanan Nasional Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin.

Darjah kebesaran serupa turut dianugerahkan kepada Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ab. Hakim Borhan.

Selain itu seramai 28 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PWM) yang membawa gelaran datuk, antaranya Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Ketua Pengarang Bernama Yong Soo Heong; Ketua Bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee; Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dan Pakar Perubatan dan Kardiologi, Institut Jantung Negara Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim. Ketua Penolong Pengarah Polis Diraja Malaysia SAC II Haris Wong Abdullah dan Perunding Kreatif Kumpulan, Astro Entertainment Sdn Bhd Aznil Nawawi pula merupakan antara 28 individu yang menerima bintang Johan Mahkota Wilayah (JMW).

Selain itu 59 orang lagi menerima bintang Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 71 orang dianugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 81 orang menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain