suria

Peraturan menunggang motosikal berserban akan dibincang semula

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk membuat penafsiran semula terhadap undang-undang menunggang motosikal dengan memakai serban.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pada masa ini, kelonggaran menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar hanya diberi kepada mereka yang berketurunan Sikh dan kalangan ulama Islam kerana mereka memakai serban.

"Apa yang menjadi persoalan kini, kita tidak tahu sama ada individu itu adalah ahli ulama agama atau ada trend di kalangan pelajar sekolah yang memakai serban," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Yayasan Pencegahan Jenayah bersama media di sini, hari ini.

Musa berkata, demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar sekolah pondok Ahmad Nasir Darus, 27, yang dipenjara dua hari setelah enggan membayar denda sebanyak RM90 atas kesalahan menunggang motosikal dengan berserban oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.

Musa berkata, beliau turut mencadangkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk tidak membenarkan penunggang motosikal memasuki kawasan pusat pelancongan serta pusat membeli-belah yang mempunyai rekod jenayah ragut yang tinggi bagi mengurangkan kes itu.

"Saya telah bercakap secara lisan dengan Menteri Pengangkutan akan hal ini, dan akan dituruti dengan kertas cadangan kepadanya dalam tempoh terdekat agar peraturan ini dapat dikuatkuasakan.

"Zon-zon yang dikenalpasti itu adalah tempat tumpuan awam seperti di sekitar Bukit Bintang yang kerap menjadi sasaran peragut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain