suria

Peletakan jawatan Mat Razali tidak jejas kredibiliti SPR

KUALA TERENGGANU: Peletakan jawatan oleh Datuk Mat Razali Kassim sebagai pegawai pengurus pilihan raya (RO) tidak akan menjejaskan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu esok secara telus.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR berharap manamana pihak tidak mempolitikkan isu itu dengan mendakwa kononnya SPR tidak telus dan adil dalam mengendalikan pilihan raya kecil itu.

Katanya SPR sedar bahawa tindakan Mat Razali itu mungkin dipersoalkan namun Datuk Bandar Kuala Terengganu itu telah bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai RO.

"Beliau telah pun melepaskan jawatan sebelum pilihan raya dijalankan dan kes itu telah ditutup. Jangan ganggu dia lagi sebab dia telahpun bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media di sini hari ini.

Kepada soalan sama ada Mat Razali boleh dikenakan tindakan, Abdul Aziz berkata tiada tindakan akan diambil kerana kes Mat Razali adalah berbeza iaitu beliau telah melepaskan jawatan sebagai RO sebelum pilihan raya kecil itu dijalankan. PAS mendakwa Mat Razali telah berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada satu majlis bersama kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Rabu lepas yang merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya dan menggesa beliau segera melepaskan jawatan sebagai RO.

Abdul Aziz berkata Mat Razali menafikan melakukan kempen untuk BN kerana sebagai RO beliau perlu bersikap berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Katanya SPR menerima surat penarikan diri Mat Razali setelah membincangkan perkara itu dengan mendalam.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tentang perjalanan pilihan raya kecil itu termasuk melibatkan perlakuan Pegawai Pengurus Pilihan Raya boleh membawa kes itu ke mahkamah melalui petisyen pilihan raya selepas pilihan raya diadakan.

Sementara itu, katanya SPR mensasarkan seramai 90 peratus daripada 80,299 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu esok.

Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka akan diperoleh selewat-lewatnya 10.30 malam, katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain