suria

Kes rasuah Kasitah Gadam Keuntungan secara rahsia diguna untuk beli saham

KUALA LUMPUR:Seorang bekas pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau bersetuju dengan andaian peguambela bahawa ejennya telah menggunakan "keuntungan secara rahsia" sebanyak RM30 juta yang diperoleh melalui urus niaga saham PPB Oil Palms bagi membeli 3.4 juta saham IntraOil Supplies Berhad (IOSB) daripada Tan Sri Kasitah Gaddam.

Datuk Wasli Mohd Said, 60, berkata beliau telah melantik Vincent Chia Ka Soon, bekas rakan kongsi firma akauntan Arthur Anderson, untuk menjual 22.25 juta saham miliknya dalam PPB Oil Palms pada hari syarikat itu disenaraikan pada 12 Ogos 1997.

Menjawab pemeriksaan balas peguambela Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Wasli berkata beliau hanya menyedari tentang "keuntungan secara rahsia" itu selepas dimaklumkan oleh peguamnya S. Sugumar pada Mac 2001. Selepas itu, beliau memfailkan saman terhadap Chia, dan kemudian Kasitah, yang merupakan pemegang amanah bagi saham IOSB.

"Saya tidak sedar bahawa Chia telah bertindak bagi pihak Briskmark dan Kasitah, di mana beliau (Kasitah) menerima RM24 juta bagi saham IOSb," katanya pada perbicaraan kes rasuah Kasitah.

Wasli bersetuju dengan andaian Shafee bahawa Chia telah mengendalikan urus niaga saham IOSB dan PPB Oil Palms secara serentak bagi meraih "keuntungan secara rahsia" itu.

Andaian Muhammad Shafee itu kelihatan sepadan dengan dokumen yang dikemukakan, katanya.

Menjawab soalan Muhammad Shafee tentang saman sivil yang difailkannya terhadap Kasitah, Wasli berkata dalam kenyataan tuntutannya, beliau meminta saham IOSB dipindahkan memandangkan Briskmark adalah pemilik sebenar saham itu.

Dalam keterangan bela dirinya, Kasitah berkata beliau memegang saham IOSB bagi pihak syarikat luar pesisir Arkwell Enterprise Limited milik Chia sejak 20 Ogos 1997 dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau hak terhadap saham itu.

Wasli, 60, berkata demikian pada perbicaraan Kasitah, bekas menteri pembangunan tanah dan koperasi, yang dituduh menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi SLDB bagi mendapatkan keuntungan kewangan dengan mengambil bahagian dalam urusan membuat keputusan bagi meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga pengarah syarikat itu kepada Briskmark.

Kasitah, 60, juga dituduh menipu SLDB dengan menyembunyikan tawaran PPB Oil Palm Sdn Bhd memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan penyenaraian awamnya.

Wasli memberitahu mahkamah bahawa Kasitah seterusnya menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyerahkan sijil saham IOSb, selagi ia tidak dikeluarkan oleh syarikat luar pesisir berkenaan.

Kata Wasli, beliau akhirnya menerima sijil itu selepas memperoleh perintah mahkamah dan menjual kesemua 3.4 juta saham IOSB kepada syarikat senaraian awam berkenaan.

Beliau bersetuju dengan Shafee bahawa wujud percanggahan kepentingan yang serius di pihak Chia, yang dilantik memegang pelbagai jawatan semasa urusan penyenaraian PPB Oil Palms dilaksanakan pada 1997.

Dalam hujahnya, Muhammad Shafee berkata Chia telah bertindak sebagai perunding bagi rancangan pengkorporatan SLDb, ejen bagi Kasitah, setiausaha Briskmark dan pemilik syarikat luar pesisir itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Suraya Othman bersambung pada 3 Disember.BERNAMA

Artikel Lain