suria

Kes Zayn: Polis jumpa petunjuk menjurus kepada 'seorang individu', siasat dashcam setiap kenderaan

Siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut bagi mendapatkan fakta dan maklumat berhubung kes.

POLIS memperolehi petunjuk susulan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, menjurus kepada seorang individu disyaki terbabit dalam kes pada 6 Disember lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mendapatkan fakta dan maklumat yang tepat berhubung kes terbabit.

"Dengan kesan itu (pada leher dan badan mangsa) kita percaya seorang individu. Kita tengok semua sudut, semua 'database' polis dan juga 'mass screening'.

"Kita harap boleh dapat petunjuk positif sehingga boleh tangkap penjenayah ini, buat masa ini petunjuk yang ada menjurus kepada seorang individu.

"Banyak persoalan yang perlu dijawab, cuma kita perlu fakta yang boleh menjawab soalan itu, jadi kita sama-sama berdoa agar kita boleh tangkap penjenayah itu. Kita tidak mahu bekerja dalam spekulasi, jadi beri ruang untuk polis bekerja dengan fakta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang anak, dikecam pula! Lelaki ini ‘emosi teruk’ lihat nasib ibu Zayn, faham betapa sukar jaga anak autisme

Tambahnya, proses penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Namun usaha untuk mencari bukti masih diteruskan kerana tiada barang (bukti) yang dijumpai sebagai bukti boleh menjurus kepada penjenayah.

Dalam pada itu katanya, siasatan polis juga tertumpu kepada stor yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa bagi mengenal pasti individu kerap berada di lokasi berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Lain