suria

Hilang anak, dikecam pula! Lelaki ini ‘emosi teruk’ lihat nasib ibu Zayn, faham betapa sukar jaga anak autisme

Helmi meluahkan rasa terkilan dengan sikap netizen yang menyalahkan ibu Zayn.

KEMATIAN kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin akibat dibunuh baru-baru ini cukup memberi impak kepada orang ramai terutama sekali ahli keluarganya.

Memandangkan kes masih belum selesaikan, pelbagai komen dan spekulasi berhubung kematiannya di media sosial dibuat oleh orang awam.

Sudah pasti, tindakan tersebut secara tidak langsung mengganggu emosi keluarga termasuklah ibu Zayn, Ismanira Abdul Manaf ekoran pelbagai kecaman terhadap dirinya.

Seorang pengguna TikTok, Halim, terpanggil untuk membuat satu hantaran meluahkan rasa simpati, susulan cerita-cerita kurang enak didengar mengenai ibu arwah.

Menerusi postingnya itu, dia dalam keadaan sebak menegaskan sangat sukar untuk menguruskan anak istimewa memandangkan dia juga mempunyai seorang anak autisme nonverbal.

Ismanira berkongsi foto bersama Zayn Rayyan di Instagram.

"Saya memang emosi teruk minggu ni dengan kes arwah Zayn Rayyan, anak syurga yang meninggal tu. Saya minta anda semua yang mana tak faham betapa susahnya jaga anak autisme ni tolong jangan kecam mak ayah dia sebab bukan senang jaga anak autisme tu. Macam saya sendiri pun ada anak sebiji macam arwah.

"Setiap anak memang ada cabaran membesarkan mereka jadi anda dekat luar sana tolonglah jangan kecam mak ayah dia. Mereka mesti sudah buat yang terbaik. Semua ibu bapa sudah buat yang terbaik," ujarnya dalam nada sebak.

Antara kecaman netizen termasuklah terhadap satu rakaman suara seorang wanita dipercayai ibu kepada arwah Zayn yang tular di media sosial.

Rakaman suara wanita tersebut yang menceritakan kronologi awal kehilangan kanak-kanak berkenaan setelah diambil dari sekolah selepas membeli barang dapur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pegang Zayn sebab tangan penuh barang, kemudian ‘ghaib’! Rakaman suara dipercayai milik ibu arwah tular

ARTIKEL BERKAITAN: “Abang, mommy cuba kuat” – Ibu Zayn Rayyan kongsi rasa hati, lagu ‘Salam Terakhir’ undang sebak

Kata Helmi, dia meminta agar orang ramai lebih memahami dan berasa simpati dengan ibu Zayn serta berhenti menyalahkan keluarga mangsa.

"Saya pun tak reti nak cakap macam mana sebab dia (ibu Zayn) pun tak nak benda-benda macam ni jadi tapi siapalah kita ni untuk menidakkan takdir Allah.

"Memang hancur hati bila kau tengok budak yang tak berdosa macam tu dibunuh. Setiap kali lalu berita macam tu, cerita tu akan menyebabkan saya rasa memang sangat-sangat sedih dan marah.

"Bila baca lagi komen orang yang tak faham atau menyalahkan mak ayah dia, ya Allah ya Tuhanku... Anda semua tolonglah rasa simpati pada mereka," katanya lagi.

Justeru Helmi meminta agar kisah tragis menimpa Zayn Rayyan dijadikan sebagai pengajaran supaya ibu bapa lebih berhati-hati terutama mereka yang mempunyai anak-anak istimewa.

"Kita sudah jadi ibu bapa terbaik untuk mereka (golongan autisme). Kita sudah buat segala pengorbanan.

HELMI

Dalam pada itu, dia juga meminta orang ramai mendoakan keluarga Zayn agar diberi ketabahan dan kekuatan dalam menempuhi ujian-Nya serta kes berjaya diselesaikan segera.

"Kita sudah jadi ibu bapa terbaik untuk mereka (golongan autisme). Kita sudah buat segala pengorbanan. Tapi kuasa Allah melebihi kehendak segala-galanya.

"Semoga keluarga arwah diberikan kesabaran tinggi dan diangkat darjatnya. Semoga urusan kita semua dipermudahkan dalam membesarkan anak-anak istimewa diamanahkan Allah ni.

"Semoga pelaku berhati binatang sanggup bunuh anak syurga tak berdosa ini ditangkap cepat dan diberikan hukuman setimpal," ujarnya lagi.

Ahli keluarga Zayn Rayyan (depan, kiri).

Untuk rekod, Zayn yang hilang sejak tengah hari Selasa ditemukan meninggal dunia di sebatang anak sungai, yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamanannya, pada Rabu malam.

Mayat mangsa ditemukan oleh penduduk yang menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain