suria

Anak BM jadi PM! Orang Bukit Mertajam tunggu Anwar balik kampung... jangan lupa makan mi kuah ketam

Cikgu Idrus (tengah) di kediaman keluarga Anwar di Jalan Kilang Ubi, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam. -foto THE STAR

MI kuah ketam di pekan Bukit Mertajam, Pulau Pinang adalah makanan kegemaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kecil.

Ia adalah hidangan unik untuk pekan itu, seperti uniknya bebola nasi ayam di Melaka yang mana tiada siapa dapat meniru untuk menghasilkan mi ketam yang serupa dengan tempat asalnya di Bukit Mertajam.

Tiada siapa tahu berapa banyak ketam digunakan oleh peniaga untuk memasak kuahnya, tetapi yang pasti jika anda peminat makanan laut itu, anda perlu mencubanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali siapa Anwar Ibrahim... Ini fakta yang anda perlu tahu tentang PM Ke-10

Ditanya penduduk Bukit Mertajam, ramai berbangga apabila 'anak BM (Bukit Mertajam) akhirnya jadi PM' dan hampir semua orang yang ditemubual tahu Anwar sangat sukakan mi ketam di pekan mereka.

Tetapi penduduk kawasan bersebelahan, Permatang Pauh mungkin tidak segembira orang Bukit Mertajam, apabila Anwar atau ahli keluarganya tidak lagi mewakili Parlimen itu buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

ketam

Mi kuah ketam adalah salah satu hidangan popular di kampung Anwar. -foto FB

Walaupun Anwar tidak mempunyai banyak masa untuk selalu pulang ke kampung halamannya, ramai penduduk tempatan tahu dia pasti akan menikmati semangkuk mi ketam jika berada di kampungnya.

"Dulu dia pernah makan di gerai kami. Tapi selepas terkenal, kalau dia datang gerai akan riuh, jadi dia hanya minta kami bungkus dan hantar ke rumah lamanya,” kata seorang penjual mi ketam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaimi.

Kedai Suhaimi tutup pada Jumaat begitu juga semua gerai lain di Bukit Mertajam.

steven

Sim beramah mesra dengan penduduk kawasannya.

Seorang lagi 'anak BM' yang berasa bangga adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam sendiri, Steven Sim.

"Ada satu perkara yang orang Cina di sini selalu kata. Kita akan ada seorang CM (ketua menteri) dan seorang PM dari BM. Kini, kami benar-benar mempunyai kedua-duanya," katanya.

Ketua menteri yang dimaksudkan Sim ialah Mendiang Tan Sri Wong Pow Nee (MCA) yang merupakan ketua menteri pertama Pulau Pinang (1957 hingga 1969).

Ketika Sim masih di sekolah menengah pada pertengahan 1990-an, dia menawarkan diri sebagai ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk bertugas ketika Anwar mengadakan rumah terbuka Hari Raya Puasa.

"Saya tengok dari jauh, dia tegur semua orang. Dia sangat tenang dan hebat. Persepsi saya terhadap beliau semasa sekolah ialah beliau seorang pemimpin negara tetapi tetap menjadi 'budak BM' setiap kali berada di kampung halamannya," katanya.

bm

Anwar berbual bersama pengundi-pengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada 19 November lalu. - fotoBERNAMA

Di Permatang Pauh, kawasan pilihan raya yang terletak tidak jauh dari Bukit Mertajam dan hanya beberapa kilometer dari rumah pusaka Anwar, sebilangan pengundi nampaknya terpaksa pasrah.

“Anwar, isteri dan anak perempuannya mewakili kami selama 40 tahun. Sekarang dia akhirnya jadi PM, dan Permatang Pauh di bawah Perikatan Nasional (PN). Apa la?” kata Salleh Yunus, 50, seorang pemandu e-hailing.

Turut merasakan rasa sedikit kekok adalah kontraktor, Rais Wahab, 30, yang mengaku dirinya sebagai penyokong Barisan Nasional (BN).

"Kami berkempen menentang Nurul Izzah untuk BN, tapi kami tak sangka PN akan menang," katanya.

Dalam usaha pertamanya dalam politik, Anwar merampas kerusi Permatang Pauh pada 1982 daripada PAS dengan memperoleh majoriti 74.88 peratus.

Beliau terus mempertahankan kerusi ini berkali-kali dengan majoriti besar, malah mengalahkan Mohamad Sabu (1986) dan Datuk Mahfuz Omar (1990), yang kini menjadi pemimpin Amanah tetapi ketika itu bersama PAS.

Selepas Anwar yang berusia 75 tahun ini pertama kali dipenjarakan pada 1998, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 69, mempertahankan kerusi ini untuknya.

Anak perempuannya, Nurul Izzah, 42, mengambil alih kerusi itu pada 2018.

Tetapi dia tewas pada PRU15 kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, 39, seorang pendakwah Islam yang mewakili PN.

Daripada 87,488 undi yang diterima, Nurul Izzah mendapat 32,366 undi sekali gus tewas kepada Muhammad Fawwaz yang mendapat 37,638 manakala dua lagi calon BN dan Pejuang meraih undi selebihnya.

izzah

Nurul Izzah tewas di Permatang Pauh pada PRU15.

Tetapi Rais percaya bahawa Anwar tidak akan melupakan Permatang Pauh.

"PH dan BN berada dalam kerajaan perpaduan sekarang. Segalanya tentang kehidupan kita telah berubah, jadi mengapa tidak berubah dari segi politik juga? Kami sedang belajar untuk berubah. Kita boleh,” katanya.

Bagaimanapun, tiada siapa yang lebih gembira daripada abang Anwar, Cikgu Idrus Ibrahim, 80, yang masih tinggal di kampung halaman dan menjalani kehidupan kampung seperti biasa.

"Itu sifat dia. Dia sanggup menghadapi cabaran. Keyakinannya terhadap apa yang dia yakin begitu kuat.

"Dia berani dan tak pernah berputus asa dengan apa yang dia percaya," katanya dalam temu bual telefon.

Dan Idrus juga mengakui ada kalanya dia akan membungkus mi ketam sebelum memandu ke Kuala Lumpur untuk dinikmati Anwar.

"Selepas jadi PM dia beritahu saya melalui telefon bahawa dia akan cari peluang untuk balik kampung," katanya.

"Saya tunggu dia pulang," katanya. -Sin Chew

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain