suria

"Harga sama saja RM3 sebungkus"

KUALA TERENGGANU: Sudah seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa, seminggu juga peniaga di bazar Ramadan di seluruh daerah mencari rezeki menjual juadah berbuka puasa.

Sebagaimana biasanya, aneka kuih muih dan lauk-pauk dijual di bazar Ramadan bagi memenuhi selera orang ramai waktu berbuka.

Begitu juga pelbagai jenis minuman dengan aneka perisa turut dijual untuk memeriahkan lagi suasana di bazar Ramadan.

Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu pasti menggembirakan para peniaga di bazar Ramadan yang menganggap tempoh sebulan ini adalah masa untuk menambah pendapatan.

Harga yang ditawarkan bukan lagi perkiraan kerana paling penting dapat membeli juadah yang membuka selera.

Bagi peniaga, Latifah Mat Sidek, 58, meskipun peniaga lain menjadikan bazar Ramadan sebagai lubuk emas dengan mengambil kesempatan menjual juadah dengan harga  tinggi bagi mengaut keuntungan, berbeza dengan dirinya apabila masih menjual nasi bajet RM3 sebungkus.

“Mak Cik jual harga sama sahaja, nasi putih bersama ayam goreng berempah, kuah kari, sambal belacan dan sedikit ulam hanya RM3 sebungkus.

"Selain lauk itu, ada juga lauk lain seperti ikan goreng, ayam masak berlada, gulai daging dan pelbagai lagi.

“Menu setiap hari adalah berbeza. Jadi, mereka boleh pilih lauk lain juga dengan harga bermula RM2 hingga RM5,” katanya yang berniaga di bazar Ramadan Batu Burok.

Pada hari biasa, dia berniaga nasi bajet berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri  Budiman 1, Kuala Terengganu.

“Setiap hari, mak cik sedia dalam kuantiti yang sedikit sahaja, dengan pelbagai menu.

"Selain dapat untung, boleh tambah pahala di bulan Ramadan,” katanya.-SinarHarian

 





nasi bajet, Batu Burok

Artikel Berikut

Artikel Lain