Ramadan beri rezeki berganda buat penjual daging - Rencana | mStar

Ramadan beri rezeki berganda buat penjual daging

PASIR MAS: Ramadan memberi rezeki lumayan kepada peniaga daging lembu apabila bahan mentah tersebut mendapat permintaan tinggi berbanding bulan-bulan biasa.

Ini berikutan penggunaan daging dalam pelbagai menu untuk berbuka puasa dan bersahur seperti sup, masak merah dan masak kunyit.

Faizal Mohd Yusof, 38, berkata beliau mampu menjual lebih 100 kilogram daging dalam tempoh empat jam pada bulan Ramadan berbanding dua hari pada hari biasa.

“Kebiasaannya permintaan terhadap daging lembu sangat tinggi pada bulan Ramadan. Saya mampu menjual daging seekor lembu dalam tempoh empat jam sebaik gerai mula dibuka pada pukul 7 pagi.

“Saya mampu meraih keuntungan sehingga RM500 sehari bergantung kepada saiz lembu tersebut,” katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini, Rabu.

Faizal berkata harga bagi satu kilogram daging adalah RM28, tulang rusuk (RM23), perut (RM23) serta sebatang kaki (RM40), dan permintaan akan meningkat beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya kerana ramai perantau yang mula pulang ke kampung halaman.

Seorang pelanggan, Hashim Yunos, 55, berkata beliau kerap membeli daging pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain untuk dijadikan juadah utama ketika berbuka.

“Banyak menu yang boleh dibuat berasaskan daging ini… paling malas boleh disinggang begitu sahaja bagi membuka selera selepas seharian berpuasa,” katanya.

Pemilik kedai makan, Norayu Rashid, 35, berkata beliau selalu mengunjungi gerai Faizal bagi mendapatkan bekalan perut untuk dijadikan ‘colek perut'.

“Colek perut ini amat popular di Kelantan pada bulan Ramadan dan sering dimakan terutama selepas solat tarawih oleh pengunjung kedai makan sata.

“Saya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua kilogram perut pada setiap hari untuk dijadikan colek,” katanya.-- Bernama

daging , Faizal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Harga sama saja RM3 sebungkus"

Artikel Lain