suria

Bekalan bahan makanan utama mencukupi untuk Aidilfitri, Kaamatan

LABUAN: Semua langkah yang sepatutnya telah diambil bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan bahan makanan utama dalam pasaran ketika sambutan perayaan Hari Raya dan Kaamatan nanti.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Labuan telah memantau dan memeriksa semua pemborong utama barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum di peruncit utama terpilih, termasuk pasar raya di sini.

Ketua penguatkuasanya Mohd Fikri Lai Abdullah berkata banyak stok bahan-bahan utama telah disimpan di gudang.

“Langkah ini akan mengelak berlakunya kekurangan bekalan bahan penting ketika musim perayaan.

“Stok gula, minyak masak dan tepung gandum adalah mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan sempena musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata bahan-bahan utama itu akan dijual pada harga terkawal menjelang musim perayaan bagi membantu beban kewangan dan kos sara hidup.

Fikri berkata pihak pemborong akan menerima bekalan tambahan sebelum akhir bulan ini termasuk 120,000 kg gula, 28,050 kg minyak masak dan 11,500 kg tepung gandum.

“Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja pada barang kawalan tetapi juga semua barangan berkaitan bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan,” katanya. - BERNAMA

Aidilfitri, Kaamatan

Artikel Lain